SEREMBAN – Hampir 2,500 penjawat awam wanita di bawah pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan dibenarkan pulang seawal 2 petang pada setiap hari Jumaat bersempena dengan Ramadan kali ini.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, mereka yang terlibat hanya berkerja di bawah pentadbiran kerajaan negeri dan tidak termasuk di bawah Persekutuan.
“Waktu kerja anjal di negeri ini dilaksanakan untuk wanita sahaja, pada setiap hari Jumaat masuk 7.30 pagi dan balik 2 petang, mereka tiada rehat dan tiada sembahyang Jumaat, jadi mereka boleh terus pulang.
“Bagi lelaki, selepas sembahyang Jumaat masuk balik kerja seperti biasa, tidak mengapa, kerja pada bulan Ramadan itu pahala,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengadakan Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat di Negeri Sembilan pada 16 Mac ini di Tampin membabitkan lebih 1,000 hingga 1,500 penduduk sekitar. – BERNAMA