KUALA LUMPUR- Seorang wanita dan anak lelakinya berjaya diselamatkan pihak bomba daripada kebakaran di rumah mereka di Jalan SS19/1c, SS19, Subang Jaya, Selangor, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kebakaran melibatkan rumah teres dua tingkat itu pada 9.15 pagi.
“Sepasukan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang bergegas ke lokasi kejadian tiba lima minit kemudian bersama dua jentera.
“Kami mendapati terdapat dua mangsa iaitu wanita berusia 42 tahun dan anak lelakinya berusia 13 tahun terperangkap di tingkat atas, namun kedua-dua beranak itu berjaya diselamatkan oleh anggota bomba,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Ahmad Mukhlis, kedua-dua mangsa hanya mengalami sesak nafas dan telah pun diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut.- MalaysiaGazette