KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih melakukan siasatan kes membabitkan ahli politik yang dikaitkan dengan ‘safe house’ dengan menjadi lokasi simpanan wang berjumlah RM5 juta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, suruhanjaya itu telah menyiapkan siasatannya namun kertas siasatan dikembalikan Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“SPRM dalam tindakan melaksanakan arahan tindakan lanjut tersebut.
“Justeru, SPRM tidak dapat mendedahkan butiran siasatan tersebut berdasarkan subseksyen 29(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang menyatakan bahawa mana-mana siasatan tersebut hendaklah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang sehinggalah orang tertuduh dipertuduh di mahkamah,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat, hari ini.
Azalina menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang bertanyakan sebab kelewatan untuk mendakwa individu berprofil tinggi, termasuk ahli politik yang didakwa terlibat dalam kes berkenaan.
Pada Oktober tahun lalu, SPRM berkata, salah seorang suspek yang ditahan dalam siasatan mendedahkan ‘safe house’ digunakan untuk menyimpan hasil rasuah kira-kira S$1,529,000.
Penemuan tersebut difahamkan daripada penahanan dua individu, termasuk seorang bekas Eksekutif Kanan di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) berkait siasatan skandal rasuah konsesi perlombongan pasir.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dua lagi tempat yang dipercayai dijadikan ‘safe house’ oleh seorang ahli politik ternama digeledah SPRM.
Dalam operasi tersebut, pihaknya menemui wang tunai berjumlah lebih RM300,000.
Seramai empat individu ditahan setakat ini bagi membantu siasatan melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita.
Mereka yang ditahan ialah ahli perniagaan, bekas kakitangan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), seorang pemandu, serta bekas pegawai kewangan syarikat yang mendapat konsesi lombong pasir. – MalaysiaGazette