KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man masih berteka-teki sama ada mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas atau tidak.
Tuan Ibrahim berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada perwakilan Pas sama ada mahu mencalonkannya bagi jawatan kedua tertinggi parti tersebut.
“Pemilihan dibuat bila ahli Pas mencalonkan kita dan moga diterima.
“Bergantung kepada pencalonan, takut tidak ada orang calon (saya), tengok dulu pencalonan,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, parti itu tidak menghalang pemimpinnya merebut jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan September ini.
Malah katanya, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Pas terbuka untuk dipertandingkan dan tiada sekatan dikenakan terhadap mana-mana pemimpin bertanding pada pemilihan tersebut.
Muktamar Tahunan Pas ke-70 dijadualkan diadakan di Kedah pada September ini.
Pada 31 Januari, penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, Pas memerlukan formula baharu untuk menghadapi cabaran politik masa hadapan khususnya bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurutnya, sudah sampai masanya Abdul Hadi diberikan peranan baharu seperti penasihat dan bukan lagi berstatus Presiden parti.
Malah, katanya, untuk kekal relevan parti itu perlu melakukan pembaharuan dalam barisan kepimpinan dengan menggabungkan kepimpinan lama dengan pemimpin muda khususnya teknokrat.
Pada sidang media sama, Tuan Ibrahim menyifatkan cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) adalah taktik halus untuk menyingkirkan orang Melayu daripada terus menetap di kawasan bandar.
Tuan Ibrahim (PN- Kubang Kerian) berkata, tiada keperluan untuk menggubal akta baru kerana akta sedia ada memadai.
“Tiada keperluan untuk wujudkan akta baru untuk pembangunan yang lebih penting demografi di kawasan bandar supaya tidak dimonopoli satu kaum.
“Bila akta ini diluluskan, kawasan tersebut akan dibangunkan semula, mereka yang sebelum ini beli rumah dengan harga lebih RM100,000, mereka tak mampu beli balik rumah dengan harga lebih RM500,000.
“Menteri jawab bank ada untuk bagi pinjaman, jadi menteri nak bagi kapitasli monopoli. Ini kaedah halus supaya mereka yang tak mampu (untuk) keluar dari bandar khususnya orang Melayu, India,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Terdahulu, sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkumpul di hadapan pintu masuk ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum bantahan terhadap Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).
Memorandum yang ditandingi 31 NGO itu diserahkan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd Zai Mustafa kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. – MalaysiaGazette