ISKANDAR PUTERI – Pengendali Pohang Steelers FC, Park Tae-Ha mengakui skuad kendaliannya terlalu banyak melakukan kesilapan ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, kesilapan tersebut menjadi punca utama kekalahan skuad Steel Warriors pada aksi terakhir Kumpulan A, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Bagaimanapun menurutnya, kesemua pemain telah memberikan aksi terbaik masing-masing dalam perlawanan tersebut, namun terpaksa akur dengan taktikal lebih baik yang dipamerkan skuad Harimau Selatan.
“Ternyata JDT mempunyai ramai pemain yang bagus selain corak taktikal yang mantap, namun, kami tetap berbangga dengan persembahan kami pada perlawanan kali ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan tersebut malam tadi.
Sementara itu, beliau menafikan insiden letupan mercun di sekitar hotel penginapan mereka kelmarin menjadi punca kekalahan 2-5, skuad kendaliannya itu kepada JDT.
Menurut Tae-Ha, insiden berkenaan tidak seharusnya berlaku kepada pasukan pelawat terutamanya bagi perlawanan-perlawanan di bawah kelolaan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Hotel di mana kami menginap di sini diganggu dengan bunyi letupan mercun yang ternyata menganggu. Oleh itu, kami rasa kami perlu ketengahkan perkara ini.
“Dalam aksi di peringkat tertinggi seperti ini, ia seharusnya dijadikan medan untuk saling hormati menghormati antara satu sama lain.
“Oleh itu, kami tidak faham, mengapa perkara ini boleh berlaku,” katanya.
Insiden letupan mercun yang berlaku sekitar pukul 11 malamsehari sebelum perlawanan tular dalam laman media sosial mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.- MalaysiaGazette