Gambar hiasan

BANGKOK- Sejumlah 107,570 kes influenza dengan sembilan kematian direkodkan di Thailand setakat ini tahun ini

Kementerian Kesihatan Awam memaklumkan, jumlah pesakit baharu meningkat kepada kira-kira 15,000 seminggu berbanding 10,000 seminggu bagi tempoh sama tahun lepas.

Jurucakap Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Jurai Wongsawat berkata, jangkitan terbesar berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun, diikuti kanak-kanak berumur bawah empat tahun serta kanak-kanak berusia antara 10 hingga 14 tahun.

Katanya, jenis virus yang kerap ditemui adalah influenza A/H1N1.

Menurut Dr Jurai, korban termuda berusia 11 tahun manakala yang paling tua adalah 86 tahun dan semuanya sudah mendapat vaksinasi flu.

Tambah beliau, kes influenza berlaku di Phayao, Lamphun, Chiang Rai, Phuket, Chiang Mai, Lampang, Bangkok, Nan, Ubon Ratchathani dan Nonthaburi.

Kebanyakan kes berlaku di sekolah, penjara dan kem tentera.

Dr Jurai berkata, trend kes influenza menunjukkan peningkatan setiap tahun terutama selepas langkah-langkah kawalan Covid-19 dilonggarkan.

Selain itu, persekitaran turut memainkan peranan penting terutamanya tahun lepas apabila cuaca sejuk berlaku agak lama sehingga menyebabkan penyakit-penyakit berkaitan pernafasan meningkat.

“Statistik menunjukkan virus selsema semakin merebak dengan pantas dalam kalangan kanak-kanak.

“Sehubungan itu, pihak sekolah disarankan untuk mengambil langkah ketat bagi mengekang penyebaran wabak. Sekiranya seorang kanak-kanak disahkan telah dijangkiti flu, mereka perlu berada di rumah selama sekurang-kurangnya 3-5 hari bagi mengelakkan jangkitan merebak,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai perlu mendapatkan vaksin influenza setiap tahun terutamanya golongan yang berada dalam kumpulan berisiko termasuk kanak-kanak berusia enam bulan hingga dua tahun; wanita mengandung; warga emas berusia lebih 65 tahun; individu obes dan sesiapa yang mempunyai masalah kesihatan kronik.- Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here