KUALA LUMPUR – Tidak timbul isu siswazah merajuk atau putus asa hingga meninggalkan dunia perubatan dek kerana menunggu terlalu lama untuk diserapkan sebagai doktor pelatih.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu tidak timbul kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan pengambilan doktor pelatih bagi setiap dua bulan untuk ditempatkan di 49 hospital kerajaan di seluruh negara.
“Penantian satu penyeksaan, betul, setahun mereka menanti untuk mendapatkan tempat sebagai pegawai perubatan siswazah (PPS) dalam 49 hospital kita.
“Tetapi untuk sekarang ini kita tidak (pernah) lagi mendapati mereka kecewa, lantas meninggalkan kerjaya perubatan yang menjadi minat mereka.
“Jadi tak timbul isu seperti itu, (kerana) setiap dua bulan kita membuat pengambilan. Dulunya betul sebelum 2016 (kita ambil) sebagai perjawatan tetap tetapi selepas 2016, kita mengambil pendekatan memberikan mereka jawatan kontrak,” katanya pada sesi jawapan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu beliau menjawab pertanyaan tambahan Ahli Parlimen Bebas-Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi tentang statistik pelajar yang putus asa semasa menunggu untuk diserap dan sebelum menamatkan latihan doktor pelatih.
Dalam pada itu, Dzulkefly memaklumkan jumlah siswazah perubatan di luar negara yang pulang untuk berkhidmat di tanah air turun sehingga 50 peratus sejak 2019.
“Jumlah peratusan (siswazah perubatan yang balik dan mendaftar untuk berkhidmat di Malaysia) menurun dari 2016 hingga ke hari ini. Dalam satu-satu masa, Malaysia mempunyai ramai siswazah perubatan terutama pada 2019 yang mana kita ada 6,300 orang sama ada mereka yang balik dari luar negara mahu pun graduan tempatan
“Tetapi hari ini kalau kita tengok 2024, mereka hanya 3,316 orang di mana penurunan puratanya hampir 50 peratus,” katanya.
Dzulkefly turut menambah, beliau percaya jumlah doktor yang meninggalkan dunia perubatan akibat dibuli adalah kecil.- MalaysiaGazette