Universiti Malaysia Terengganu

KUALA LUMPUR- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjana pendapatan kasar sebanyak RM1.6 juta menerusi aktiviti pengkormesialan penyelidikan melalui 11 syarikat pemula (start-up) yang didaftarkan oleh penyelidiknya sepanjang 2024.

Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, usaha itu bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi negara tetapi turut membuka peluang pekerjaan kepada graduan UMT serta universiti lain.

“Setakat ini, 16 staf telah diambil bekerja di syarikat pemula ini termasuk lapan alumni UMT, tujuh graduan daripada institusi lain serta seorang pelajar UMT yang sedang menjalani latihan industri,” katanya dalam Majlis Apresiasi Pengkomersialan Produk Penyelidikan UMT yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Terengganu, hari ini.

Antara kejayaan utama yang diraikan dalam majlis itu adalah pencapaian Bee Lab Sdn. Bhd., yang berjaya memperoleh geran RM100,000 daripada Cradle Sdn. Bhd. bagi membangunkan produk penyelidikannya.

Selain itu, UMT turut mencatat perkembangan positif melalui penubuhan syarikat spin-off pertama, JSORB Spill Tech Sdn. Bhd yang mana 60% ekuiti dipegang oleh UMT Holdings Sdn. Bhd., manakala 40% lagi dimiliki oleh dua penyelidik UMT iaitu Profesor Madya Ts. Dr. Lee Oon Jew dan Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Sabri Mohd Ghazali daripada Fakulti Sains dan Sekitaran Marin (FSSM).

“Kerjasama erat antara UMT dan industri telah membantu membawa penyelidikan ke pasaran dengan lebih berkesan.

“Beberapa syarikat seperti Akuatrop Sdn. Bhd., ZEEC Tech Sdn. Bhd., Eastar Biotech Sdn. Bhd., dan Superfood Biotech Sdn. Bhd. telah menandatangani perjanjian pelesenan harta intelek dengan UMT,” tambahnya.

Walaupun UMT telah mencatat kejayaan, cabaran dalam aspek pembiayaan, paten, dan strategi pemasaran masih menjadi antara isu utama yang dihadapi penyelidik dalam pengkomersialan produk mereka.

Namun begitu menurut beliau, inisiatif seperti Pelan Hala Tuju RDICE yang diluluskan dalam mesyuarat Majlis Sains Negara pada Mei 2024 diharap dapat memberikan lebih banyak sokongan kepada universiti dan penyelidik dalam usaha memperkasa inovasi mereka.

“Kami di UMT sentiasa menyokong penyelidik dan berharap lebih banyak produk inovasi dapat menembusi pasaran global,” ujar Mohd Zamri lagi.

Majlis Apresiasi Pengkomersialan Produk Penyelidikan UMT itu turut menyaksikan penghargaan diberikan kepada Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) UMT yang mencatat pencapaian cemerlang dalam penilaian MyRA bagi tahun 2024, khususnya di Seksyen E (Inovasi) dengan markah 13.45, melebihi sasaran keseluruhan 13.00. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here