Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memajak 28 helikopter untuk menghadapi cabaran ketersediaan aset strategik negara yang rendah akibat kekangan kewangan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan masih tidak dapat melakukan penambahan aset yang mencukupi kerana kekurangan dana, meskipun menyedari ketidakcukupan atau ketersediaan aset strategik merupakan satu isu yang kritikal kepada negara.

Ujarnya, jika kerajaan berkeras untuk memperoleh aset melalui kaedah pembelian secara terus, adalah tidak mustahil negara terpaksa menunggu terlalu lama atau mungkin tidak akan mampu mempunyai aset-aset strategik yang diperlukan negara selama-lamanya.

Selain itu, menerusi pendekatan pajakan juga, kerajaan tidak perlu membayar pendahuluan atau membayar bayaran kemajuan (progress payment) atau mengeluarkan perbelanjaan modal.

Ini kerana, di bawah kontrak pajakan helikopter itu, kerajaan akan hanya mula membayar komitmen apabila negara telah menerima dengan sempurna helikopter yang dibekalkan kelak.

“Dan itu pun bayaran tersebut adalah secara bulanan mengikut kegunaan dan dipecahkan sepanjang tempoh 15 tahun.

“Sedangkan jika kita membeli aset-aset ini secara terus, kita perlu mengeluarkan kos dan membuat bayaran bermula dari sekarang walau pun kita belum mendapat aset yang dikehendaki.

“Dan kita mesti melangsaikan semua bayaran pembelian tersebut sebelum kita boleh menerima sebarang aset.

“Ini bermakna, melalui kaedah pajakan, kerajaan dapat memperoleh aset-aset yang berkos tinggi, canggih dan moden seperti helikopter tanpa perlu menyediakan peruntukan yang besar sekali gus atau upfront full payment,” katanya pada sesi penggulungan Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, kata beliau, kerajaan memilih kaedah perolehan secara pajakan disebabkan faktor kemestian di pihak syarikat untuk memberi jaminan tahap ketersediaan pesawat.

Jelasnya, kerajaan telah mensyaratkan syarikat terlibat wajib memastikan kesiapsiagaan minimum helikopter berada pada sekurang-kuranya 85 peratus pada setiap masa.

Sebelum ini, menurut Khaled, aset-aset ketersiapsiagaan negara hanya berada antara 40 hingga 45 peratus ketika kerajaan memiliki aset tersebut.

“Jadi di bawah pendekatan ini, kesiapsiagaan pesawat setiap bulan akan disusun menggunakan konsep power by hour (PBH) dan ini dapat dilakukan kerana kesemua alat-alat ganti mestilah disediakan oleh syarikat pada setiap masa dan bukan dibeli hanya apabila diperlukan,” katanya.

Faktor lain, tambah beliau, menerusi perolehan pajakan juga, kesemua risiko penyediaan dan pemilikan tersebut menjadi tanggungjawab pihak pemberi pajak (lessor) yang bermakna, pihak syarikat perlu mengambil insurans sepanjang pajakan tersebut.

“Secara tidak langsung, pemindahan beban dan risiko pengurusan kepada pihak syarikat menyebabkan agensi-agensi pengguna boleh menumpukan perhatian sepenuhnya kepada tugas-tugas operasi udara tanpa perlu memikirkan hal-hal berkaitan penyelenggaraan pesawat seperti perolehan alat-alat ganti, ketersediaan peruntukan kewangan dan latihan,” jelasnya.

Berhubung dakwaan harga menerusi perolehan pajakan itu lebih tinggi berbanding kerajaan membeli terus aset tersebut, Khaled berkata, RM16.6 bilion yang dibelanjakan di bawah kontrak tersebut merangkumi pakej menyeluruh selama 15 tahun.

“Berbanding dengan pembelian secara terus yang didakwa lebih murah tersebut, di bawah pakej pajakan menyeluruh ini, kerajaan tidak perlu menguruskan kos-kos lain yang sememangnya tidak boleh dielakkan,” katanya.

Sebelum ini, Khaled dilaporkan berkata, sebanyak 28 helikopter akan disewa kerajaan menerusi kontrak bernilai RM16 bilion bagi tempoh 15 tahun untuk beberapa agensi termasuk ATM.

Bagaimanapun, keputusan itu mencetuskan pertikaian dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang yang menyifatkan kerajaan berbelanja lebih besar berbanding membeli secara terus aset terbabit selain mempersoalkan keputusan memeterai kontrak itu yang dibuat secara tergesa-gesa. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here