Foto Facebook JDT.

KUALA LUMPUR – Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan kelab dari China, Shandong Taishan FC dianggap telah menarik diri daripada saingan Liga Juara-Juara Elit 2024/25 (ACLE) di bawah Artikel 5.2 Peraturan Pertandingan.

Kelab itu, sebelum ini memaklumkan kepada AFC berhubung keputusan untuk tidak menyertai perlawanan Peringkat Liga Zon Timur menentang Ulsan HD FC dari Korea Selatan yang dijadualkan semalam.

Berikutan perkembangan itu, AFC merujuk perkara berkenaan kepada jawatankuasa yang berkaitan untuk perbincangan lanjut dan membuat keputusan mengenai sebarang tindakan atau sekatan yang perlu dikenakan.

“Perkara itu akan dirujuk kepada Jawatankuasa AFC yang berkaitan untuk membuat keputusan sewajarnya,” menurut AFC dalam satu kenyataan hari ini.

Juara bertahan Liga Super Malaysia Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke pusingan 16 selepas menewaskan pasukan Korea Selatan Pohang  Steelers FC 5-2 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri kelmarin.

Harimau Selatan itu menduduki tempat keempat dalam kedudukan kumpulan dengan 14 mata dan dijadualkan bertemu satu lagi pasukan dari Korea Selatan Gwangju FC dalam peringkat kalah mati pada Mac ini.

Bagaimanapun, mungkin terdapat perubahan berikutan penarikan diri Shandong Taishan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast