Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan hadir mengenai suspek kes tembak di Setia City Mall ketika di Jeti Pulau Ketam, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 18 FEBRUARI 2025.

SHAH ALAM – Ah Boy, penjenayah yang ditembak mati di Pulau Ketam, Pelabuhan Klang, Selasa lalu melakukan kegiatan jenayah secara sendirian dan tidak mempunyai ahli kumpulan lain.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Ah Boy melakukan jenayah samun, rompakan dan mencuri secara solo sejak dua tahun lalu untuk memenuhi keperluan dirinya sendiri.

“Bila habis (hasil rompakan), dia buat lagi, itu telah menjadi habit (tabiat) dia dalam setahun dua ini.

Habit trigger adalah kelakuan dia seorang diri, jadi tidak ada rakan sejenayah ataupun ahli kumpulan bersama dengan dia yang perlu kita risaukan dengan tindakan susulan atas aktiviti sebelum ini,” katanya pada sidang media di Dewan D’Cerana, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi yang akan menamatkan perkhidmatannya pada usia 60 tahun.

Selasa lalu, Ah Boy ditembak mati di Pulau Ketam, Pelabuhan Klang setelah melakukan lima jenayah lain selepas kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, 8 Februari lalu.

Ah Boy itu kemudian melarikan diri ke Melaka dan tinggal selama lima hari sebelum bersembunyi di Banting selama dua hari dan terakhir dikesan di Sabak Bernam.

Lelaki berusia 35 tahun itu kemudian melakukan pecah rumah di Sabak Bernam dan curi motosikal sebelum melarikan diri ke Pulau Ketam, pada Selasa.

Hussein memberitahu, sebelum ini Ah Boy pernah melakukan samun bersama dua hingga tiga rakan sejenayah, namun dia bergerak solo sebelum ditembak mati.

“Tetapi setahun lepas ini dia telah bergerak solo. Mungkin dia tidak serasi dengan anggota dia, tapi kita dapati bergerak seorang diri,” katanya.

Selain memiliki dua senjata secara haram, Ah Boy juga terlibat dalam pengedaran dan penggunaan dadah dipercayai jenis syabu

“Penggunaan dadah ini memberi kesan mendalam hingga menyebabkan dia berkelakuan sedemikian iaitu pencetus tabiat, memiliki senjata secara haram dan boleh melepaskan tembakan bila-bila masa.

“Kita percaya itu method dia, setiap kali dia melakukan kegiatan jenayah yang diada-adakan, kita percaya syabu,” katanya.

Selain itu, Hussein memaklumkan, proses bedah siasat ke atas mayat Ah Boy telah selesai dilakukan semalam dan mendapati kematiannya akibat kesan tembakan.

Post mortem selesai petang semalam dan kematian dia akibat kesan tembakan.

“Jumlah tembakan dalam siasatan sebab dia melibatkan kes di mahkamah nanti.

“Saya tak boleh dedahkan, tapi memang ada kejadian tembak-menembak dalam insiden tersebut, polis terpaksa melepaskan tembakan hingga menyebabkan dia mati,” katanya.

Ditanya tentang jenis senjata api yang digunakan, jelas Hussein, penjenayah itu memiliki pistol jenis SIG Sauer dan Retay.

“Kita percaya dia beli dalam negara juga, dari mana dia dapat dua senjata itu, pihak polis masih menjalankan siasatan,” katanya.

Untuk rekod, kali terakhir lelaki itu keluar daripada penjara adalah pada 2019 atas sabitan ke atas dua kesalahan jenayah.

“Dia pernah masuk penjara dua kali, dari sembilan kesalahan lampau, dua dari kesalahan itu dia pernah disabitkan kesalahan dia masuk penjara, kali terakhir dia keluar dari penjara 2019,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here