PETALING JAYA – Enam saksi pendakwaan selesai melakukan pengecaman di sekitar Apartmen Idaman, Damansara Damai hari ini yang menjadi lokasi kehilangan Zayn Rayyan Abdul Matin.
Mereka terdiri daripada dua saksi polis, dua saksi awam dan dua kanak-kanak dibawa ke lokasi tersebut bagi mendapat gambaran yang lebih terperinci di kawasan pencarian kehilangan Zayn Rayyan.
Saksi polis, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin dan Asisten Superintendan Nor Zaharuddin Sanip manakala saksi awam ialah penduduk di apartmen tersebut, Rashidah Rajali dan Siti Natrah Ismail.
Lawatan bermula pukul 10 pagi dan berakhir 12.35 tengah hari diketuai oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Dr. Syahliza Warnoh yang turut disertai oleh pasukan pendakwaan dan pembelaan.
Peguam Ramzani Idris berkata, kawasan itu termasuk taman permainan, tangga di Blok R yang dikatakan menuju ke rumah ibu bapanya serta lokasi terakhir Zayn Rayyan dilihat oleh saksi-saksi.
Beliau yang merupakan salah seorang peguam yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf berkata, sesi lawatan itu tidak melibatkan soal balas saksi-saksi berkenaan kerana ia akan disambung di mahkamah, esok.
Pasangan tersebut juga hadir pada sesi pengecaman hari ini.
“Pada dasarnya saksi-saksi berkenaan boleh melakukan pengecaman dengan lancar, kita pun tiada menyoal balas mereka.
“Hari ini cuma untuk mengecam tempat kejadian kerana mereka tidak boleh kenalpasti sepenuhnya melalui gambar.
“Sesi pengecaman berjalan lancar dan selesai dalam tempoh dua jam setengah hari ini. Hakim diiringi oleh pendaftar mahkamah, dua jurubahasa dan pegawai perakam yang merekod video,” ujar beliau.
Ramzani ditemui pemberita selepas menyertai sesi lawatan di lokasi tersebut. Turut mewakili pihak pembelaan, peguam Haresh Mahadevan.
Sementara itu, pasukan pendakwaan diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Kamarul Iman Mohd. Sapian.
Lawatan itu dilakukan ekoran permohonan pasukan pendakwaan agar pihak-pihak yang terlibat dalam perbicaraan kes pengabaian kanak-kanak autisme itu didedahkan dengan gambaran sebenar lokasi kejadian.
Lawatan itu merupakan sebahagian daripada prosiding perbicaraan terhadap Zaim Ikhwan dan Ismanira yang didakwa mengabaikan anak autisme mereka dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Tinjauan itu turut membolehkan saksi-saksi pendakwaan yang telah memberikan keterangan, mengenal pasti tempat mayat Zayn Rayyan ditemukan pada waktu malam, 6 Disember serta kawasan persekitarannya.
Lokasi yang turut menjadi tumpuan termasuk tebing dan laluan sungai, belukar serta kawasan takungan air yang dinyatakan oleh saksi-saksi pendakwaan ketika memberi keterangan.
Sebelum ini, mayat kanak-kanak itu ditemukan di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya kira-kira jam 10 malam, 6 Disember 2023 oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari bersama pihak polis.
Mangsa ditemukan terbaring di tepi anak sungai terletak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di Blok R. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Hakim tiba di Apartmen Idaman tinjau lokasi kehilangan Zayn Rayyan