KUALA LUMPUR – Isu rasuah bukan sekadar ancaman kepada ekonomi dan pentadbiran negara tetapi juga memberi kesan besar kepada generasi muda yang bakal menjadi pemimpin masa depan.  

Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Abqari Annuar, 24, menegaskan peranan anak muda amat penting kerana mereka bukan sekadar pengkritik malah mampu mencadangkan penyelesaian konkrit.

Menurutnya, kesedaran tentang integriti harus dipupuk sejak peringkat universiti, lebih-lebih lagi selepas pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang membolehkan mahasiswa menguruskan dana sendiri.

“Kita perlu bertanggungjawab dalam mengurus kewangan kerana sebarang penyalahgunaan boleh dikategorikan sebagai rasuah. 

“Ini bukan sekadar isu politik tetapi penyakit yang telah lama membarah dalam negara,” katanya ketika hadir pada program Dialog MG anjuran MalaysiaGazette di sini malam tadi.

Sementara itu, peserta program, Brendon Gan, 24, yang juga mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berpandangan anak muda harus bersikap neutral dalam membincangkan isu rasuah tanpa dipengaruhi ideologi politik.

Selain itu, beliau menyeru golongan muda agar memanfaatkan ilmu yang dipelajari di universiti bagi membantu membanteras rasuah secara efektif.

“Mahasiswa perlu bertindak sebagai ejen semak dan imbang. Jangan biarkan politik mempengaruhi perjuangan kita menentang rasuah. Yang lebih penting adalah memastikan ketelusan dalam pentadbiran negara demi kepentingan rakyat.

“Jika bukan kita yang mencadangkan penyelesaian sekarang, siapa lagi? Sebagai mahasiswa, kita bertanggungjawab menggunakan ilmu dan kepakaran untuk membantu kerajaan menangani isu ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Amir Sahmad, 28, dari Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, pendidikan mengenai rasuah harus diperluaskan terutama di luar bandar bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

“Rasuah adalah masalah yang diwarisi dari satu generasi ke generasi lain. Kita mungkin menentangnya ketika muda tetapi akhirnya ada yang turut terjerumus apabila berusia. 

“Oleh itu, pencegahan harus bermula dari peringkat anak muda,” katanya.

Beliau turut menegaskan perhimpunan aman membantah rasuah tidak wajar dihalang kerana ia mencerminkan kebebasan bersuara demi menegakkan integriti dalam sistem pentadbiran negara.

Program Dialog MG bertajuk Rasuah Berakar Umbi, Jangan Ingat Anak Muda Buta Tuli yang diadakan di ibu pejabat MalaysiaGazette di sini malam ini menampilkan empat panelis iaitu Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, Setiausaha Sekretariat Rakyat Benci Rasuah (SRBR), Muhammad Zaim Zulkifli Ariff.

Turut hadir sebagai panelis, Pengarah Komunikasi Angkatan Muda keadilan (AMK), Haziq Azfar dan Ketua Penerangan  Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM), Muhammad Fakrurazzi Khairur Rijal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here