PETALING JAYA – Hakim Mahkamah Sesyen, Dr. Syahliza Warnoh tiba di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini pagi ini bagi meninjau lokasi yang dikaitkan dengan kehilangan Zayn Rayyan Abdul Matin.
Beliau bertolak dari Mahkamah Sesyen di sini menaiki kenderaan polis dan dilihat memasuki pekarangan apartmen berkenaan kira-kira pukul 10 pagi.
Lawatan itu juga disertai pasukan pendakwaan serta pembelaan yang mewakili pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf.
Lawatan itu dilakukan ekoran permohonan pasukan pendakwaan agar pihak-pihak yang terlibat dalam perbicaraan kes pengabaian kanak-kanak autisme itu didedahkan dengan gambaran sebenar lokasi kejadian.
Tinjauan itu turut membolehkan saksi-saksi pendakwaan yang telah memberikan keterangan, mengenal pasti tempat mayat Zayn Rayyan ditemukan pada waktu malam 6 Disember 2023 serta kawasan persekitarannya.
Lokasi yang dijangka menjadi tumpuan termasuk laluan tangga Blok R apartmen berkenaan, tebing dan laluan sungai, belukar serta kawasan takungan air yang dinyatakan oleh saksi-saksi pendakwaan ketika memberi keterangan.
Sebelum ini, khidmat Unit Anjing Pengesan K9 telah digunakan bagi membantu mencari Zayn Rayyan di kawasan sekitar apartmen berkenaan sebaik kanak-kanak istimewa berusia enam tahun itu dilaporkan hilang.
Bagaimanapun penggunaan anjing pengesan tersebut gagal menghidu petunjuk dalam misi pencarian Zayn Rayyan yang bermula pada hari dia dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023.
Lawatan itu merupakan sebahagian daripada prosiding perbicaraan terhadap Zaim Ikhwan dan Ismanira yang didakwa mengabaikan anak autisme mereka dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai, di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023. – MalaysiaGazette