Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 13 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang untuk menjadikan beras putih tempatan sebagai stok penimbal beras, jelas Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan hanya menyimpan beras putih import sebagai stok penimbal beras yang diuruskan oleh Syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

“Sehingga kini jumlah keseluruhan stok fizikal beras dalam negara adalah sebanyak 917,937 tan metrik meliputi stokpail beras negara sebanyak 200,000 tan metrik dan stok dagangan 717,937 tan metrik.

“Ia berupaya untuk menampung 4.59 bulan keperluan negara,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.

Mohamad berkata demikian menjawab soalan lisan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang ingin kerajaan memperincikan berapa stok beras negara yang disimpan oleh BERNAS sehingga 31 Disember 2024 dan adakah kementerian bercadang untuk menjadikan beras putih tempatan sebagai stok penimbal beras.

Stok penimbal itu, jelas Mohamad, termaktub kepada Perjanjian Konsesi yang ditandatangani antara kerajaan dengan BERNAS yang berkuatkuasa sehingga 10 Januari 2031.

Untuk rekod, stok penimbal beras bertujuan untuk menyediakan simpanan beras bagi memastikan bekalan beras negara sentiasa mencukupi dalam tempoh tertentu iaitu semasa negara menghadapi keadaan kecemasan seperti bencana alam, kemerosotan dalam pengeluaran beras tempatan dan krisis di negara pengeksport. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here