KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (Jawatankuasa Harmoni) bukan satu jawatankuasa baharu yang ditubuhkan, sebaliknya ia dijenamakan semula dengan nama baru.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, jawatankuasa itu bermula pada 14 Ogos 2020 dengan nama Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman Antara Penganut Agama (JKMPKA).
Beliau menjelaskan, komposisi 10 wakil Islam dan 15 wakil bukan Islam dalam Jawatankuasa Harmoni sama dengan komposis JKMPKA sejak Januari 2021.
“Fungsi Jawatankuasa ini antaranya mencadangkan kepada kerajaan berhubung dengan pelaksanaan strategi yang bersesuaian dan berteraskan nilai-nilai murni keagamaan demi meningkatkan kefahaman dan keharmonian mengenai kepelbagaian agama dan melaksana secara bersama aktiviti-aktiviti kesedaran dan keharmonian antara penganut agama demi manfaat masyarakat.
“Sehubungan itu, Jakim menyeru semua pihak agar bertanggungjawab serta tidak mempolemikkan jumlah keanggotaan ahli Jawatankuasa Harmoni untuk tujuan tertentu yang boleh membangkitkan kegelisahan awam,” katanya dalam kenyataan.
Semalam media melaporkan seramai 25 tokoh agama dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (Harmoni).
Mereka terdiri daripada 10 wakil Islam, Buddha (empat), Kristian (empat), Hindu (dua), Tao (dua) dan masing-masing satu wakil bagi Sikh, Bahai serta Unit Lain-lain Agama (UNIFOR), Sarawak.
Harmoni dalam satu kenyataan memaklumkan, mesyuarat dipengerusikan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang membincangkan mengenai usaha pengukuhan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa, agama serta budaya di Malaysia.
Penubuhan Jawatankuasa Harmoni dikritik oleh setengah-setengah pihak di media sosial antara lain mendakwa anggotanya tidak seimbangan antara Islam dan bukan Islam.
Antara yang dilantik ialah Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Dr Muhammad Nur Manuty; bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Datuk Seri Zaleha Kamarudin; Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil; Mufti Sarawak, Datuk Kipli Yassin dan Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.
Turut dilantik, Naib Presiden Persatuan Buddha Malaysia, Chuan Yuan; tokoh Buddha, Sing Kan; Pengerusi Persekutuan Kristian Evangelikal Nasional (NECF), Dr Eu Hong Seng dan Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia (CFM), Philip Thomas.
Selain itu, Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman, Tan Sri R Nadarajah; Presiden Majlis Gurdwara Malaysia, Sardar Jagir Singh Arjan Singh; Presiden Persekutuan Persatuan Tao Malaysia, Tan Hoe Chieow dan Pengarah UNIFOR, Datuk Georgina Apphia Ngau turut dilantik.-MalaysiaGazette