KLUANG – Johor masih lagi terus negeri pengeluar nanas terbesar di Malaysia membabitkan keluasan tanaman mencecah 10,366.6 hektar dengan pengeluaran sebanyak 280,878 metrik tan pada tahun ini.
Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, jumlah itu mewakili 63.7 peratus daripada keseluruhan pengeluaran nanas negara yang bernilai RM682.53 juta.

Daripada jumlah keseluruhan 18,275.71 hektar tanaman nanas di Malaysia lebih 10,000 hektar adalah di Johor dengan daerah Kluang dan Pontian mendominasi pengeluaran.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar satu pelan rantaian ‘Jejak Nanas’ diwujudkan sebagai usaha melonjakkan industri nanas Johor menerusi sektor agropelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Pelan ini akan menjadi panduan kepada pelancong untuk menjejaki lokasi berkaitan nanas seperti ladang berskala besar, muzium, pusat agroteknologi dan perusahaan tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara lokasi yang berpotensi dimasukkan dalam pelan ini ialah Ladang Nanas Peninsular di Simpang Renggam, Muzium Nanas Pontian dan Laman Agroteknologi Nanas di Alor Bukit.
Menurut Sheikh Umar, LPNM turut menyokong cadangan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, untuk menjadikan Johor sebagai destinasi utama agropelancongan bagi industri nanas.
“Antara cadangan yang dikemukakan adalah membangunkan sebuah lokasi ala Jerman Pine Cafe di Simpang Renggam iaitu konsep kafe bertemakan nanas yang sudah terbukti menarik pelancong di Kampung Peradin, Pontian.
“Sejak dibuka Disember lalu, JermanPine Cafe telah menerima kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara termasuk Singapura, Jepun, Korea, China, Jerman, Timur Tengah, Amerika Syarikat dan United Kingdom,” ujarnya.
Sheikh Umar menegaskan, nanas adalah sebahagian daripada identiti Johor dan memiliki sejarah panjang dalam sektor pertanian negeri itu.
“Bagi pihak LPNM, kami akan memberikan sokongan serta bantuan sewajarnya dalam merealisasikan pelan ini selari dengan peranan kami sebagai agensi peneraju industri nanas negara,” katanya.- MalaysiaGazette