KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM), Fakrurrazzi Khairur Rijal mempersoalkan ketegasan kerajaan dalam membanteras rasuah khususnya melantik pemimpin terlibat dengan pendakwaan di mahkamah sebelum ini.
Menurutnya, kerajaan sering berjanji mahu menghapuskan rasuah sebelum pilihan raya tetapi realitinya masih jauh daripada apa yang diharapkan rakyat.
“Sebelum PRU, laungkan mahu hapuskan korupsi tetapi selepas menang, lantik pula yang ketika itu berdepan kes rasuah.
“Kemudian timbul pula isu DBKL. Jika kerajaan benar-benar konsisten, mengapa keadaan seperti ini. Jika kerajaan gagal menjalankan tugasnya, rakyat sendiri akan bertindak untuk mendesak perubahan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas muncul sebagai panelis pada program Dialog MG bertajuk Rasuah Berakar Umbi, Jangan Ingat Anak Muda Buta Tuli di ibu pejabat MalaysiaGazette di sini malam tadi.
Panelis lain yang terlibat adalah Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, Pengarah Komunikasi Angkatan Muda keadilan (AMK), Haziq Azfar dan Setiausaha Sekretariat Rakyat Benci Rasuah (SRBR), Muhammad Zaim Zulkifli Ariff.
Fakrurrazzi turut mempersoalkan keberkesanan perjuangan reformasi yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama lebih dua dekad namun sehingga kini rakyat masih diminta untuk terus menunggu perubahan.
“Sudah 28 tahun memperjuangkan reformasi tetapi mengapa isu rasuah masih berleluasa? Rakyat menuntut perubahan tetapi kini disuruh menunggu lagi. Jika ada akta yang jelas, kita tidak akan terus berada dalam situasi ini,” ujarnya.
Fakrurrazzi menegaskan selagi ‘jerung besar’ tidak diheret ke muka pengadilan, masalah rasuah di Malaysia tidak akan selesai.
“Analogi mudah, jika tidak tangkap jerung, rasuah tidak akan selesai. Rakyat berhak bersuara dan jika ada yang terguris hati dengan teguran kami, itu perkara baik kerana ini bermaksud mereka tahu kesalahan mereka,” katanya.
Beliau turut menyatakan rasa kecewa terhadap prestasi kerajaan Madani dalam menangani isu rasuah.
“Kami mengundi untuk perubahan, bukan untuk melihat situasi yang tidak berubah. Baru-baru ini Bersih memberi kerajaan ini gred D dalam menangani rasuah.
“Saya sendiri kecewa dengan kerajaan Madani hari ini. Ini hak bersuara saya sebagai rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette