Foto: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

MANAMA – Keadaan kesihatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kini jauh lebih baik selepas menjalani rawatan konservatif, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, dalam lawatan rasmi ke Bahrain, beliau berkesempatan menghadap Seri Paduka Baginda sebanyak dua kali di sini.

“Alhamdulilah, rawatan konservatif di peringkat awal itu nampak berhasil walaupun harus dipantau.

“Kesihatan Seri Paduka Baginda jauh lebih baik dan oleh itu sebelum meneruskan rawatan berikutnya Seri Paduka Baginda telah putuskan untuk pulang dahulu esok dan insya-Allah meneruskan rawatan jika perlu.

“Tetapi kita bersyukur kerana keadaan Seri Paduka Baginda jauh lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengakhiri lawatan rasmi ke Bahrain atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain Salman Hamad Al Khalifa dan akan berlepas pulang ke ibu negara, 5 petang waktu tempatan.

Semalam, menerusi catatan dalam Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Perdana Menteri dilaporkan telah mempersembahkan perkara-perkara berkaitan perkembangan semasa negara, selain bertanyakan khabar kesihatan Seri Paduka Baginda.

Sehari sebelumnya, Istana Negara memaklumkan Sultan Ibrahim selamat menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan musculoskeletal (otot dan tulang) di luar negara dan dijangka berangkat pulang ke Malaysia pada 21 Februari ini ini.

Kesakitan berkenaan berlaku akibat latihan ketenteraan intensif dan gaya hidup aktif Seri Paduka Baginda yang gemar bersukan sewaktu muda, terutama bermain polo.

Pada 7 Februari lepas, Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan Seri Paduka Baginda berangkat ke luar negara bagi menjalani rawatan.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan pelantikan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang baharu, Anwar berkata, perkara berkenaan telah disembah maklum kepada Seri Paduka Baginda.

“Tetapi seperti mana yang saudara tahu, sehingga hal ini disahkan, (baru) kita akan umumkan,” katanya.

Anwar sebelum ini dilapor berkata, kerajaan telah mempunyai calon bagi menggantikan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, yang telah tamat perkhidmatan bagi tempoh dua tahun sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

Perdana Menteri turut dilapor berkata, kerajaan kini dalam fasa mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan akan dilakukan dalam masa terdekat.

Mohamed Nazri mula memegang jawatan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat pada 9 Februari 2023, dan menurut kenyataan Kementerian Luar, pemilihan (Mohamed Nazri) itu berdasarkan pengalaman luasnya sebagai anggota pentadbiran negara. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here