Lori tanker yang dilarikan seorang lelaki berjaya ditemui semula di Sungai Rambai, Jasin, Melaka, semalam.

BATU PAHAT – Polis berjaya menyelesaikan kes curi sebuah lori tangki di Yong Peng semalam dalam masa tidak sampai 24 jam selepas menahan seorang lelaki yang mempunyai 13 rekod lampau.

Anggota bertugas di Balai Polis Yong Peng menerima satu laporan daripada mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berumur 42 tahun menyatakan lori tangki yang diparkirnya di tepi Jalan Labis-Yong Peng hilang.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, lori berkenaan disedari mangsa hilang pada pukul 9.45 pagi kelmarin.

“Bertindak atas repot yang diterima, anggota bertugas di Pusat Kawalan Daerah (DCC) Polis Batu Pahat terus menghebahkan kejadian yang berlaku melalui Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) polis Johor kepada semua petugas yang sedang bertugas di lapangan.

“Pada pukul 10.50 pagi, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Tangkak berjaya mengesan dan menahan lori tanker yang dilarikan tersebut di kawasan Sungai Rambai, Jasin, Melaka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, suspek juga berjaya ditahan iaitu seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun yang sedang memandu kenderaan tersebut.

Suspek ujarnya, siasatan mendapati mempunyai 13 kes rekod  lampau berkaitan kes dadah dan jenayah.

Beliau memberitahu, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut selama tiga hari iaitu dari semalam hingga esok.

Siasatan polis katanya, dibuat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri kenderaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 ekoran hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here