KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng bukan sahaja dangkal tetapi juga cetek pemahaman mengenai Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).
Beliau yang juga Ketua Penerangan Pas berkata, menentang akta yang memberi kuasa kepada kerajaan dan pemaju untuk merampas hak rakyat bukanlah kebodohan.
Sebalinya, menurut beliau, ia merupakan satu tanggungjawab untuk memastikan keadilan tidak diinjak oleh golongan berkepentingan.
Beliau mendakwa, menamakan ‘Akta Pembaharuan Semula Bandar’ merupakan strategi kerajaan supaya rang undang-undang itu kelihatan progresif sekali gus mereka yang menentang akta itu dilabel sebagai jumud, anti-pembangunan.
“Namun, hakikatnya ia membolehkan kerajaan dan pemaju mengambil tanah dan rumah rakyat walaupun pemilik asal tidak bersetuju sepenuhnya.
“Persetujuan 75 peratus pemilik unit dalam sesebuah bangunan sudah mencukupi untuk membolehkan pengambilan tanah berlaku. Apa terjadi kepada 25 peratus yang tidak bersetuju? Dipaksa mengalah?
“Persoalannya, sejak bila prinsip demokrasi membenarkan suara majoriti menindas hak minoriti? Sejak bila kerajaan boleh memaksa pemilik melepaskan rumah mereka tanpa persetujuan mutlak? Oh, tapi jangan risau – semuanya atas nama “kemajuan,” katanya.
Ahmad Fadhli turut mempersoalkan pihak yang mendapat keuntungan sebenar kewujudan akta berkenaan.
Ini kerana isu pengambilan balik tanah tidak dilaksanakan melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) di bawah Kementerian Sumber Asli sebaliknya melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Seolah-olah tujuan sebenar bukanlah pembangunan demi rakyat, tetapi lebih kepada memberi kelebihan kepada pemaju untuk mengambil alih tanah dengan lebih mudah.
“Jika benar akta ini demi kesejahteraan rakyat, mengapa rakyat perlu dipaksa untuk menyerahkan rumah mereka? Kenapa pemaju dan syarikat besar yang sentiasa mendapat manfaat terbesar dalam skim pembangunan semula seperti ini?” soalnya.
Beliau turut membangkitkan projek pembangunan semula sebelum ini di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan kawasan perkampungan Melayu lain yang akhirnya ditukar menjadi projek mewah yang tidak lagi mampu dibeli oleh penduduk asal.
“Jika rakyat terlalu miskin untuk membeli semula unit-unit baru yang “dijanjikan” kepada mereka, siapa yang akhirnya akan menguasai kawasan itu?
“Jawapannya mudah – pemaju dan mereka yang berkemampuan tinggi, yang kebiasaannya bukan dalam kalangan penduduk asal. Tetapi jangan risau, semua ini hanyalah “teori konspirasi” menurut mereka yang mahu mempertahankan akta ini,” sindir beliau.
Lip Eng, membidas Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung dakwaan bahawa URA ialah satu rancangan halus untuk mengusir komuniti tertentu dan membuka jalan kepada pilihan raya kerajaan tempatan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Lip Eng menuduh Pas ketandusan isu sehingga terpaksa ‘menjaja mitos perkauman murahan untuk menakut-nakutkan rakyat’. – MalaysiaGazette