Man Tiger dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini untuk direman bagi membantu siasatan kes melepaskan enam das tembakan depan sebuah rumah.

JOHOR BAHRU – Lelaki dikenali sebagai Man Tiger yang melepaskan enam das tembakan ke arah pasangan suami isteri di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam, di sini, pada  10 Februari lalu akan didakwa esok.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, lelaki berusia 32 tahun itu akan dituduh di Mahkamah Majistret Kluang.

“Suspek berkenaan mempunyai 27 rekod jenayah lampau akan didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana subahat cuba membunuh.

“Kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri Johor pada hari ini dan polis telah menerima arahan untuk pertuduhan.

“Suspek 32 tahun akan didakwa esok di Mahkamah Majistret Kluang mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian di kampung itu, sepasang suami isteri didatangi tiga lelaki sebelum seorang daripadanya melepaskan enam das tembakan di hadapan rumah mereka.

Selepas itu mereka melarikan diri dengan kereta namun berjaya dikesan dan polis berjaya menahan Man Tiger sebelum direman selama tujuh hari.

Kumar berkata, terbaharu empat rakan suspek yang berusia 34 hingga 41 tahun disyaki terlibat dalam kejadian itu ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari Isnin lalu di kawasan Kampung Melayu Majidee, di sini.

Katanya, polis turut merampas sepucuk pistol jenis Sigsauer berwarna hitam berserta kelopak dan sarung.

Polis katanya, turut menemui sepucuk pistol disyaki tiruan, dua buah motosikal yang dilaporkan hilang, dua batang allen key, beberapa peket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah serta enam unit telefon bimbit.

“Hasil siasatan awal mendapati pistol yang dirampas dipercayai senjata yang digunakan untuk melepaskan tembakan di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam, 10 Februari lalu.

“Bagaimanapun polis masih menunggu laporan analisa balistik dari Jabatan Kimia untuk pengesahan,” katanya.

Kumar menambah, hasil semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta jenayah selain tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamin.

Kesemua suspek direman sehingga Ahad depan bagi membantu lapan siasatan termasuk mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here