Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

KUALA LUMPUR – Majlis Pelaburan Negara (MPN) bersetuju dengan syor Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk melanjutkan moratorium semasa bagi sektor besi dan keluli Malaysia, yang akan berakhir pada bulan Ogos 2025.

Pelanjutan ini merangkumi sektor huluan produk keluli panjang, dan semakan kepada tempoh moratorum akan dibuat apabila pemain domestik sediaada mencapai penggunaan kapasiti hampir 80%.

MITI juga akan melanjutkan moratorium ke atas sektor huluan produk keluli rata dan mengehadkan peningkatan kapasiti yang besar.

Pendekatan ini bertujuan antara lain; untuk menangani ketidaksepadanan antara kapasiti dan penggunaan domestik, menambahbaik amalan industri ke arah penggunaan teknologi pematuhan pelepasan,serta meningkatkan tadbir urus sektor untuk meningkatkan daya saing dan pengeluaran produk keluli bernilai tambah tinggi.

MITI berkata, ia komited untuk mempercepatkan penyahkarbonan industri besi dan keluli untuk memenuhi komitmen sifar bersih negara dan permintaan pasaran global.

Dalam hal ini, MPN juga bersetuju dengan syor MITI agar kerajaan mempercepatkan pelaksanaan dan penstrukturan semula cukai karbon dan mekanisme harga karbon untuk industri intensif pelepasan, dengan sektor keluli menerajui pematuhan sektor lain.

“MITI juga akan mewujudkan pelan hala tuju penyahkarbonan yang merangkumi pelaksanaan peraturan untuk mengukur, melaporkan, dan mengesahkan (Measure, Report, Verify – MRV) tahap pelepasan GHG (green house gas) untuk semua pemain keluli di Malaysia, sebagai blok binaan asas untuk harga karbon dan mekanisme karbon lain.

“MITI akan mengadakan libat urus dengan pemain industri dalam membangunkan piawaian Malaysia (EPD) untuk produk keluli domestik dan import,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah MITI, menyedari keperluan tadbir urus dan penyelarasan industri yang kukuh untuk menyokong transformasi industri, MPN turut bersetuju untuk menstruktur semula Malaysia Steel Institute (MSI) dan Majlis Keluli Malaysia (MSC) untuk mengukuhkan dan mengutamakan fungsi semasa mereka.

Penstrukturan semula ini akan meningkatkan penguatkuasaan peraturan, memastikan penyelarasan antara agensi utama dan menggalakkan persaingan yang adil, juga akan meningkatkan pengurusan kapasiti dengan meningkatkan ketelusan dan meningkatkan daya saing dan ekonomi sektor.

Institusi yang diperkukuh juga akan memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan laluan penyahkarbonan sektor keluli secara keseluruhan.

MITI menambah, MPN juga bersetuju untuk memperkenalkan kutipan cess yang dikaitkan dengan pengeluaran dan import sebagai sumber pembiayaan yang selamat dan stabil untuk MSI.

“MITI percaya bahawa langkah-langkah ini akan membantu memastikan industri besi dan keluli yang berdaya maju dan mampan, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai pemain strategik di dalam sektor pembinaan Malaysia.

“Kementerian akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk melaksanakan syor-syor ini dalam memastikan kelestarian dan daya tahan jangka panjang industri besi dan keluli Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here