KUALA LUMPUR – Selebriti dan usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa mendapat penghormatan apabila dipilih sebagai penerima anugerah bagi kategori Wanita Inspirasi sempena acara The Muslim World Women’s Summit: Voices HER Festival.
Pengiktirafan berprestij ini diberikan sebagai penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam dunia keusahawanan, pemerkasaan wanita serta peranannya sebagai ikon Muslimah yang memberi inspirasi kepada masyarakat.
Neelofa bukan sahaja sebagai selebriti tetapi juga sebagai tokoh perniagaan berjaya, menerima anugerah ini atas kejayaan luar biasanya dalam bidang perniagaan fesyen patuh syariah serta advokasi mengenai kepentingan keseimbangan antara kejayaan profesional dan nilai keislaman.
Neelofa yang juga pengasas Nunha berkata, penghargaan ini bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi satu simbol kekuatan, keazaman dan peranan besar yang dimainkan oleh wanita dalam dunia hari ini.
“Anugerah ini bukan hanya untuk saya, tetapi untuk semua wanita di luar sana yang berusaha menggapai impian mereka tanpa mengorbankan prinsip dan nilai yang dipegang.
“Saya berharap kejayaan ini dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk berani mengejar cita-cita mereka.
“Kejayaan bukan hanya diukur dari segi pencapaian material tetapi juga dari segi bagaimana kita memberi impak positif kepada masyarakat dan membawa perubahan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Menurut Neelofa, anugerah itu dedikasikan kepada semua wanita yang berani melangkah keluar dari zon selesa, berusaha tanpa mengenal lelah dan terus berpegang teguh pada prinsip serta keimanan mereka.
“Semoga kita semua dapat terus menjadi inspirasi kepada satu sama lain dan membantu membentuk dunia yang lebih baik.
“Terima kasih kepada pihak penganjur atas penghargaan ini dan kepada semua yang sentiasa menyokong perjalanan saya. Moga Allah SWT terus memberkati langkah kita semua,” katanya. – MalaysiaGazette