BATU PAHAT – Seorang lelaki warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan sekerjanya dengan menikam menggunakan pisau di sebuah rumah pekerja di sini minggu lalu.
Tertuduh, Molla Abdul Aziz, 25, yang bekerja kilang mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh lelaki warga Nepal, Mochi Satindar, 30, di asrama pekerja di Jalan Wawasan 14, Kawasan Perindustrian Sri Gading Fasa 2, antara pukul 11.30 malam, 9 Februari hingga 12.30 tengah malam, 10 Februari lalu.
Untuk itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 14 April ini untuk sebutan semula kes.
Dalam kejadian itu, siasatan polis mendapati kejadian berpunca daripada provokasi sekumpulan pekerja asing, termasuk mangsa dan tertuduh, sehingga mencetuskan perang mulut dan pergaduhan. – MalaysiaGazette