Bukit Sosodikon terletak di Kampung Kauluan, Kundasang.

KUALA LUMPUR – Industri pelancongan berasaskan komuniti atau community-based tourism (CBT) kini menjadi tumpuan utama di Sabah sejak beberapa tahun kebelakangan ini sebagai trend pelancong global.

Tourism Sabah berkata, ia kerana CBT merupakan satu bentuk pelancongan yang melibatkan komuniti tempatan dalam merancang, membangun dan mengendalikan aktiviti pelancongan secara keseluruhannya.

Kata agensi negeri itu, inisiatif CBT bertujuan untuk memperkasakan penduduk tempatan, memulihara sumber alam semula jadi dan budaya di samping  mengagihkan faedah ekonomi secara lebih saksama dalam kalangan komuniti.

“Di Sabah, inisiatif CBT menawarkan pengalaman perjalanan yang unik dan memberi  manfaat bagi mereka yang ingin merasai pengalaman seperti orang tempatan di Sabah.

“Selain itu, dengan menyokong usaha komuniti tempatan, meraikan tradisi budaya dan menghormati persekitaran semula jadi, pelancong boleh mencipta kenangan yang berkekalan sambil menyumbang kepada pembangunan mampan destinasi yang luar biasa ini.

“Jika anda sedang mencari produk pelancongan, CBT Sabah menawarkan pelbagai pengalaman yang menarik dan peluang untuk merasai tradisi dan budaya tempatan, berikut adalah beberapa cadangan popular untuk anda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Meneroka Gua Pungiton bertingkat adalah salah satu tarikan di Orou Sapulot.

Mengulas lanjut, Tourism Sabah berkata, Kiulu Farmstay adalah salah satu projek CBT yang diadakan di Lembah Kiulu yang menawarkan penginapan ‘farmstay’ dan aktiviti luar seperti quadbiking atau ATV, mendaki dan aktiviti berpasukan.

Katanya, ia adalah tempat yang menarik untuk merasai kehidupan luar bandar dan belajar tentang amalan pertanian mampan mengikut cara kaum Kadazan-Dusun.

Selain itu, Bukit Sosodikon yang terletak di Kampung Kauluan, Kundasang pula merupakan tarikan pelancongan terkini yang diurus dan diselenggara oleh Koperasi Sosodikon Ranau Berhad iaitu sebuah koperasi yang diuruskan sepenuhnya oleh penduduk Kampung Kauluan.

“Dinamakan sempena pahlawan lagenda Kadazan-Dusun yang terkenal, Monsopiad, kampung ini mempamerkan lawatan berpandu di sekitar rumah tradisional Kadazan-Dusun, persembahan kebudayaan dan peluang untuk mempelajari adat dan tradisi tempatan.

“Bagi yang ingin menerokai di pedalaman Sabah, berhampiran sempadan Kalimantan, Orou Sapulot terdapat sebuah projek CBT yang terletak jauh di tengah-tengah Borneo.

pelajari tentang gaya hidup tradisional penduduk tempatan di Homestay Desa Cinta Kobuni.

“Lokasinya yang terletak di dalam perkampungan masyarakat Murut memberi peluang unik kepada pengunjung untuk merasai sendiri budaya Murut dan mengambil bahagian dalam aktiviti harian mereka.

“Manakala KOPEL atau Koperasi Pelancongan Mukim Batu Puteh Kinabatangan pula akan memberikan pengalaman CBT bersama komuniti Orang Sungai selain membantu melindungi Santuari Hidupan Liar Kinabatangan melalui usaha pemuliharaan dan pembangunan mampan,” katanya.

Tourism memberitahu, CBT di Sabah turut menawarkan destinasi yang terletak di dalam kawasan paya bakau yang berfungsi sebagai tempat perlindungan pelbagai hidupan liar di Kampung Darau Menggatal di Darau Wetland Eco-Tourism.

Selain itu katanya, Tagal Taman Tinopikon di Penampang adalah destinasi unik dan menawan yang terletak di lembah Sungai Moyog yang indah sebagai bukti komitmen komuniti Kadazandusun terhadap pengurusan sumber alam semula jadi yang mampan dan pemeliharaan budaya.

“CBT di Sabah juga menawarkan produk pelancongan seperti di Kampung Kolosunan, Inanam yang terletak di dalam kawasan Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan Homestay Desa Cinta Kobuni di Kota Kinabalu untuk melihat gaya hidup tradisional masyarakat Kadazan-Dusun.

“Tidak lupa juga, Taman Rekreasi Kintup yang terletak di Kampung Tikolod, Tambunan, sebagai permata tersembunyi yang popular di kalangan penduduk tempatan dan pelancong kerana menawarkan tempat yang tenang, jauh dari hiruk-pikuk kebingitan suasana kehidupan bandar,” katanya di maklumat lanjut tentang pelancongan berasaskan komuniti di Sabah boleh dilayari di laman www.sabahtourism.com . – MalaysiaGazette

Kiulu Farmstay adalah salah satu projek CBT yang diadakan di Lembah Kiulu.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here