SEREMBAN – Polis membongkar makmal haram pemprosesan dadah selepas menyerbu sebuah rumah di Nilai, Isnin lepas dengan membabitkan keseluruhan rampasan dadah dan sitaan dianggar bernilai RM3.2 juta.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata pasukan serbuan turut menahan dua lelaki tempatan serta dua lelaki dan seorang wanita warga asing, kesemuanya berusia antara 27 hingga 38 tahun.
“Hasil serbuan, polis merampas dadah dipercayai kokain dianggar seberat 2,145 gram bernilai RM429,000, pelbagai serbuk dan cecair bahan kimia serta sejumlah peralatan elektrik disyaki digunakan untuk memproses dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis turut menyita empat kenderaan, wang tunai RM66,830, pelbagai mata wang asing berjumlah RM29,822.70, pelbagai barang kemas serta jam tangan bernilai RM477,773.73, menjadikan jumlah sitaan RM2.77 juta.
Ahmad Dzaffir berkata, saringan awal air kencing mendapati seorang lelaki tempatan dan seorang warga asing positif terhadap methamphetamine dan benzo selain dua daripada yang ditahan mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah.
Kelima-lima individu itu, katanya kini direman hingga Isnin ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama