BUTTERWORTH – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung penemuan sepucuk pistol jenis revolver di belakang medan selera Pantai Bersih, Bagan Ajam, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pekerja pembersihan di kawasan berkenaan berhubung penemuan senjata api itu pada jam 10.15 pagi.
“Susulan makluman tersebut, pegawai penyiasat bersama pasukan forensik dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang bergerak ke lokasi bagi melakukan siasatan.
“Hasil siasatan di lokasi mendapati pistol jenis revolver yang ditemui itu sudah berkarat dan tidak berfungsi.
“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini dan kes diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambah Anuar, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Norhaslinda Rahmat di talian 04-576 2222 (samb. 2275) atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette