KUALA LUMPUR – Produktiviti buruh Malaysia berada pada kedudukan yang baik ke arah prospek yang positif pada tahun 2025 sejajar dengan prestasi pasaran buruh yang mampan dan ekonomi yang stabil sepanjang tahun walaupun berdepan cabaran dalam prospek ekonomi dan pembaharuan pasaran buruh.

Ia berdasarkan produktiviti buruh per jam bekerja bertumbuh 1.4 peratus pada suku tahun keempat 2024, mencatatkan RM44.2 setiap jam.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri  Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi produktiviti buruh per jam bekerja bagi tahun 2024 meningkat 2.1 peratus (2023: 0.1%) dengan nilai ditambah per jam bekerja sebanyak RM42.8 setiap jam (2023: RM41.9 setiap jam).

Begitu juga produktiviti buruh per pekerja yang menunjukkan momentum positif pada 2.4 peratus (2023: 0.7%) untuk mencatatkan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM99,137 seorang (2023: RM96,780 seorang).

Semua sektor menunjukkan momentum positif yang stabil, kecuali sektor perlombongan dan pengkuarian yang mengalami penurunan.

Tambah beliau, ekonomi Malaysia berkembang 5.0 peratus pada suku tahun keempat 2024 berbanding 5.4 peratus pada suku tahun ketiga 2024, manakala jumlah jam bekerja meningkat 3.5 peratus bagi mencatatkan 9.7 bilion jam (ST3 2024: 2.7%; 9.7 bilion jam).

Pertumbuhan jumlah pekerja tahun ke tahun sebanyak 2.7 peratus, mencatatkan 16.8 juta orang (ST3 2024: 2.9%; 16.7 juta orang) pada suku tahun keempat 2024, manakala produktiviti buruh per pekerja meningkat 2.2 peratus untuk merekodkan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM25,647 seorang (ST3 2024: 2.4%; RM25,081 seorang).

“Prestasi sektoral bagi produktiviti buruh yang dinyatakan sebagai nilai ditambah per jam bekerja pada suku ini didorong oleh pertumbuhan dalam sektor pembinaan pada 18.7 peratus (ST3 2024: 20.0%), diikuti oleh sektor Pembuatan pada 2.4 peratus (ST3 2024: 3.4%) dan sektor perkhidmatan pada 0.9 peratus (ST3 2024: 1.4%), manakala sektor perlombongan dan pengkuarian dan sektor pertanian masing-masing merosot pada negatif 2.7 peratus (ST3 2024: -5.7%) dan negatif 1.8 peratus (ST3 2024: 4.2%),” katanya.

Sementara itu, prestasi produktiviti buruh per jam bekerja bagi sektor perkhidmatan pada suku tahun keempat 2024 didorong oleh pertumbuhan dalam subsektor pengangkutan dan penyimpanan (7.6%), hartanah dan perkhidmatan perniagaan (6.1%), kewangan dan insurans (3.2%), perkhidmatan lain (1.7%), dan maklumat dan
komunikasi (0.7%).

Manakala tiga (3) subsektor menunjukkan pertumbuhan negatif iaitu utiliti (-1.5%), perdagangan borong dan runcit (-0.5%) dan makanan & minuman dan penginapan (-0.5%).

Produktiviti buruh per jam bekerja bagi sektor pembuatan turut merekodkan peningkatan pada ST4 2024 disebabkan oleh pengembangan dalam semua subsektornya, termasuk produk elektrik, elektronik dan optikal (6.6%), produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (5.1%), minuman dan produk tembakau (4.3%), minyak dan lemak daripada sayuran & haiwan dan prosesan makanan (1.8%), produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (1.3%) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (0.4%); kecuali peralatan pengangkutan, pembuatan lain dan pembaikan (-2.6%); dan produk tekstil, pakaian dan kulit (-1.5%).

Dalam pada itu, prestasi sektoral bagi produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai ditambah per pekerja pada suku ini disumbangkan oleh pertumbuhan mampan dalam sektor pembinaan pada 19.7 peratus (ST3 2024: 18.9%), diikuti oleh sektor pembuatan pada 3.0 peratus (ST3 2024: 4.1%); dan sektor perkhidmatan pada 1.8 peratus (ST3 2024: 1.3%), manakala sektor pertanian dan sektor perlombongan dan pengkuarian menunjukkan penurunan masing-masing pada negatif 1.7 peritus (ST3 2024: 3.0%) dan negatif 1.3 peratus (ST3 2024: -4.0%).

Pertumbuhan produktiviti buruh per pekerja bagi sektor perkhidmatan pada ST4 2024 adalah disebabkan oleh pengembangan dalam kebanyakan subsektornya, iaitu hartanah dan perkhidmatan perniagaan (6.1%), pengangkutan dan penyimpanan (5.7%), kewangan dan insurans (3.7%); perkhidmatan lain (2.9%), makanan & minuman dan penginapan (1.3%), maklumat dan komunikasi (1.2%) dan perdagangan borong dan runcit (0.6%); kecuali utiliti (-4.1%).

Sementara itu, prestasi produktiviti buruh per pekerja bagi sektor pembuatan pada suku tahun keempat 2024 didorong oleh pertumbuhan kebanyakan subsektornya, termasuk Produk elektrik, elektronik dan optikal (6.6%), minuman dan produk tembakau (4.9%), minyak dan lemak daripada sayuran & haiwan dan prosesan makanan (4.3%), produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (3.1%), produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (2.4%), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (0.9%) dan produk tekstil, pakaian dan kulit (0.7%); kecuali peralatan pengangkutan, pembuatan lain dan pembaikan (-3.2%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here