BINTULU – Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) dan Lembaga
Kemajuan Bintulu (BDA) yakin kerjasama strategik dalam pengurusan sisa makanan mampu mencetuskan penyelesaian inovatif yang memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar.
Menerusi Program Towards Zero Food Waste yang diketuai oleh Ketua Laboratori
Biodiversiti Borneo, Institut Ekosains Borneo (IEB), UPMKB, Dr. Keeren Sundara Rajoo,
merupakan inisiatif antara BDA dan UPMKB untuk berkerjasama dengan pemegang taruh di Bintulu yang terlibat dengan penyediaan makanan.
Pengarah UPMKB, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, berkata, inisiatif ini merupakan langkah
penting pertama dalam mengurangkan pembaziran makanan, menangani isu kebuluran,
serta menetapkan penanda aras pengurusan sisa makanan yang lebih mampan di Malaysia.
“Usaha ini sejajar dengan Pelan Induk Sekuriti Makanan UPM yang menekankan amalan
lestari, inovasi berasaskan penyelidikan serta penglibatan komuniti dalam memastikan
bekalan makanan yang stabil dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada BDA atas kepercayaan yang diberikan
kepada UPMKB bagi melaksanakan projek ini.
“Adalah satu penghormatan untuk bekerjasama dengan BDA, sebuah organisasi yang
berkongsi visi kami dalam membina masa depan lestari untuk Bintulu dan Sarawak. Saya yakin kerjasama ini akan terus berkembang, mengukuhkan komitmen terhadap
penyelesaian inovatif dan kesejahteraan komuniti,” katanya.
Timbalan Pengerusi BDA, Datuk Haidar Khan Asghar Khan berkata, kajian
kebolehlaksanaan ini adalah fasa pertama dalam usaha mencari penyelesaian mampan
bagi pengurusan sisa makanan.
“Kita sedang merealisasikan idea dan strategi, jadi harapan saya agar projek ini berjaya
direalisasikan serta diteruskan dalam jangka masa panjang untuk menjadi contoh terbaik
kepada komuniti lain di seluruh Malaysia,” katanya.
“Harapan saya ini akan menjadi titik permulaan untuk berkongsi idea, menyokong satu sama lain, dan bekerjasama mencipta masa depan yang lebih baik demi kestabilan dan
kesejahteraan alam sekitar,” tambah beliau.
Selain itu, kerjasama antara UPMKB dan BDA ini menandakan satu langkah proaktif dalam
membentuk persekitaran lebih mampan dan menggalakkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pengurusan sisa makanan yang lebih cekap.
Pengusaha Environment Metal Engineering, Jordan Lau Hsien Loong berkata, sebagai
alumni UPMKB inisiatif ini disifatkan sebagai langkah pertama ke arah kelestarian dalam
mengurangkan pembaziran makanan di Bintulu.
“Inisiatif ini bukan sahaja dapat mengurangkan sisa makanan tetapi juga membantu
menangani perubahan iklim dan pembaziran makanan merupakan salah satu penyumbang kepada perubahan iklim,” katanya. – MalaysiaGazette