KUALA LUMPUR – Kerajaan sekarang hanya melaksanakan reformasi kecil dalam menangani rasuah sejak menerajui pentadbiran lebih dua tahun lalu, dakwa Setiausaha Sekretariat Rakyat Benci Rasuah (SRBR), Muhammad Zaim Zulkifli Ariff.
Menurutnya, kerajaan perlu berani mengambil langkah drastik termasuk segera memisahkan Pejabat Peguam Negara (AGC) daripada Pejabat Pendakwa Raya (OPP), mengeluarkan OPP daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) serta memperkenalkan Akta Pendanaan Politik (PFA).
“Bagaimana rasuah boleh dibanteras jika isu asasnya tidak diselesaikan?
“Kerajaan hari ini masih belum menunjukkan keberanian sebenar. Tidak ada kemahuan politik (political will) sebab itu masalah ini tidak selesai.
“Mengapa masih banyak lagi ‘jerung besar’ masih bebas walaupun siasatan telah dijalankan, adanya pendakwaan namun ada yang telah dilepaskan?
“Kenapa mereka tidak diheret ke muka pengadilan? Rakyat sedang memerhati. Jika ada kelemahan, perbetulkan. Jika ada rasuah, ambil tindakan. Barulah rakyat yakin dengan keadilan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas muncul sebagai panelis pada program Dialog MG bertajuk Rasuah Berakar Umbi, Jangan Ingat Anak Muda Buta Tuli di ibu pejabat MalaysiaGazette (MG) di sini malam tadi.
Panelis lain terlibat adalah Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar dan Ketua Penerangan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM), Muhammad Fakrurazzi Khairur Rijal.
Muhammad Zaim turut menyuarakan kebimbangan mahasiswa yang konsisten memperjuangkan dasar antirasuah namun mendapati kerajaan masih gagal bertindak dengan tegas.
Dalam pada itu, anak muda itu mempersoalkan tindakan kerajaan yang memohon perintah larangan (gag order) dalam kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berdepan pertuduhan menyeleweng berbilion ringgit wang rakyat.
“Ini isu awam, bukan isu peribadi. Mengapa cuba mendapatkan gag order untuk menutup perbincangan rakyat? Ini tentang bekas pemimpin yang didakwa makan rasuah berbilion ringgit. Rakyat ada hak untuk tahu,” ujarnya.
Beliau juga merujuk kepada sentimen rakyat yang semakin kecewa dengan isu rasuah termasuk paparan sepanduk bertulis ‘Bapa Pembebasan Rasuah’ dalam perhimpunan baru-baru ini.
“Kerajaan perlu lakukan sesuatu untuk memperbetulkan pandangan ini, bukan sekadar mempersoalkan rakyat. Jika politik dilihat sebagai jalan mudah untuk mencari kekayaan, inilah naratif yang perlu kita hapuskan,” katanya. – MalaysiaGazette