Najib Razak

PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan prosiding bela diri bekas Datuk Seri Najib Razak selepas saksi pasukan pembelaan gagal dihubungi.

Peguam mewakili bekas Perdana menteri itu, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berkata, bekas rakan kongsi firma guaman Wong & Partners, Brian Chia Hock Gee sepatutnya memberi keterangan hari ini.

Beliau berkata, Hock Gee pada awalnya berada dalam senarai pasukan pendakwaan namun ditawarkan kepada pasukan  pembelaan untuk menjadi saksi ke-10.

“Kami cuba menghubungi saksi ini dan meminta pertolongan serta bercakap dengan peguam lain untuk mengesannya, tetapi mereka juga tidak tahu di mana beliau berada ketika ini.

“Untuk makluman Yang Arif, saksi ini sahaja dalam senarai kami untuk hari ini. Kami mengandaikan ketika ini saksi ini tidak berada dalam negara dan telah meminta bantuan pendakwaan bantu menghubungi saksi ini,” katanya di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, hari ini.

Wong & Partners merupakan firma penasihat untuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib sedang membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Ketika disoal Collin apakah tindakan seterusnya jika saksi ini tidak doperolehi, Wan Azwan berkata, pihaknya akan meneruskan prosiding dengan saksi lain.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar berkata, pihaknya akan cuba sedaya upaya mengesan saksi tersebut.

Berikutan itu, Collin bersetuju menangguhkan prosiding dan menyambungnya pagi esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here