Raub (dua kiri) menunjukkan peralatan dan tangki minyak yang digunakan untuk aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi di Taman Perniagaan Setia, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Berlindung di sebalik syarikat menguruskan pengangkutan bagi mengaburi mata pihak berkuasa tetapi sebenarnya menjalankan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah kilang di Jalan Perniagaan Setia 3, Taman Perniagaan Setia di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan mendapati beroperasi dengan sindiket tersebut mendapat bekalan diesel dari luar negara menerusi kapal di laut.

Menurutnya, bakalan diesel tersebut kemudian dibawa dengan bot sebelum dipindahkan ke dalam lori dan dibawa ke kilang berkenaan.

“Apabila sampai di kilang, sindiket akan melakukan kegiatan pemindahan minyak diesel tersebut terutama pada waktu malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Mereka sudah melakukan kegiatan ini sejak Oktober tahun lalu. Aktiviti mereka dapat dihidu apabila banyak lori keluar masuk ke kilang berkenaan yang mencurigakan sebelum risikan selama empat bulan dilakukan Unit Risik Marin (URM) Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar di kilang berkenaan hari ini.

Katanya, pihak PPM kemudian membuat serbuan di kilang itu pukul 2.30 petang semalam dan menahan empat suspek iaitu seorang lelaki dan wanita tempatan dan masing-masing seorang lelaki Bangladesh serta seorang lelaki Myanmar berusia antara 29 hingga 69 tahun.

Jelas beliau, pihaknya sedang menyiasat sama ada suspek tempatan itu yang merupakan penjaga kilang tersebut adalah dalang sindiket berkenaan.

Raub berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas dua lori tangki berisi diesel dengan anggaran 23,000 liter, satu lori tangki kecil (2,000 liter diesel), skid tangki (12,500 liter), sembilan square tank (4,800 liter), dua tangki besi (2,200 liter), empat pam elektrik berserta hos dan satu pam flow meter serta hos (44,500 liter).

Beliau memberitahu, rampasan diesel sahaja berjumlah RM155,000 manakala keseluruhan nilai rampasan RM1.618 juta.

Kes tersebut disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan dan membawa barang kawalan tanpa lesen dan permit yang sah.

Kes berkenaan turut disiasat bawah Seksyen (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa pas dan permit yang sah.

“Polis terus komited dalam melaksanakan Penguatkuasaan dan membanteras kegiatan penyelewengan minyak diesel subsidi dihentikan kerana akan menyebabkan kerugian kepada masyarakat dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here