MUAR – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas melakukan serbuan dan menahan tiga lelaki tempatan dan seorang warga Indonesia di sebuah hotel di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, serbuan dilakukan pada pukul 5 pagi itu dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.
“Hasil pemeriksaan menemui satu bungkusan plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 466 gram serta empat paket plastik lutsinar mengandungi syabu seberat 3,460.96 gram.
“Anggaran nilai keseluruhan rampasan dadah adalah RM152,870.00,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Turut dirampas sebuah motosikal Yamaha Y150ZR dan kereta Proton Wira warna hitam yang dipercayai digunakan bagi aktiviti pengedaran dadah.
Beliau berkata, hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah.
Semua suspek kini direman sehingga 25 Februari ini bagi membantu siasatan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan sekiranya disabitkan kesalahan.
Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana penyalahgunaan dadah serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi warga asing, katanya.
Raiz Mukhliz menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terbabit dalam pengedaran atau pemprosesan bahan terlarang itu.- MalaysiaGazette