Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Jafri Embok Taha (tengah) menunjukkan barangan rampasan berkaitan Operasi Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia telah menyerbu 17 unit premis kediaman mewah yang dipercayai Scam warga asing. Turut hadir Pengarah Bahagian Penguatkuasa, Basri Othman (kiri) di Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 20 FEBRUARI 2025

PUTRAJAYA – Sindiket penipuan dalam talian yang didalangi 46 warga asing dari pelbagai negara mampu meraih keuntungan antara RM100,000 hingga RM150,000 sehari.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, tidak hairan jika sindiket itu mempunyai kemampuan untuk mengupah pekerja asing dengan bayaran antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.

“Berdasarkan maklumat awam dan risikan dijalankan hampir tiga minggu, seramai 120 pegawai JIM pelbagai pangkat menyerbu 17 premis di Kuchai Lama, Kuala Lumpur dalam satu operasi khas, jam 11.30 pagi, semalam.

“Hasil siasatan awal mendapati, premis kediaman mewah itu disewa kepada sindiket penipuan dalam talian itu hampir tiga minggu lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JIM, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Jafri Embok Taha (tengah) bergambar bersama anggota Imigresen selepas selesai sidang media berkaitan Operasi Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia telah menyerbu 17 unit premis kediaman mewah yang dipercayai Scam warga asing. Turut hadir Pengarah Bahagian Penguatkuasa, Basri Othman (enam kanan) di Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 20 FEBRUARI 2025

Dalam serbuan itu, katanya, JIM telah menangkap dan menahan 46 warganegara asing berusia di antara 23 hingga 54 tahun atas pelbagai kesalahan.

“Antaranya 14 lelaki warganegara China, 15 lelaki dan empat perempuan (Indonesia), seorang lelaki dan empat perempuan (Myanmar), dua lelaki (Bangladesh), dua perempuan (Laos) dan enam perempuan (Thailand).

“Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 kerana pelbagai kesalahan termasuk Seksyen 6(3) (Akta 155) kerana melanggar peruntukan Seksyen 6(1)(c) iaitu memasuki Malaysia tanpa pas yang sah.

“Mengikut Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), mereka melanggar peruntukan Seksyen 15(1)(c) iaitu tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh Pas dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, iaitu melanggar syarat Pas Lawatan Sosial,” katanya.

Sebahagian barangan rampasan dalam Operasi Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia yang telah menyerbu 17 unit premis kediaman mewah dipercayai Scam warga asing. Turut hadir Pengarah Bahagian Penguatkuasa, Basri Othman (kiri) di Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 20 FEBRUARI 2025

Selain itu, kata Jafri, pihaknya turut merampas dua pelayan rak, empat komputer riba, 88 telefon bimbit pelbagai jenama, tiga router, empat modem dan 26 keping kad sim serta wang tunai berjumlah RM100,000.

Jafri memberitahu, sindiket itu menggunakan modus operandi dengan menjalankan aktiviti memperdayakan mangsa dengan tawaran penjualan saham, barangan dan hartanah secara dalam talian tidak wujud.

“Sindiket ini menggunakan aplikasi media sosial seperti Facebook, TikTok, WeChat, WhatsApp dan Telegram sebagai medium mencari pelanggan atau mangsa,” katanya.

Sebahagian barangan rampasan dalam Operasi Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia yang telah menyerbu 17 unit premis kediaman mewah dipercayai Scam warga asing. Turut hadir Pengarah Bahagian Penguatkuasa, Basri Othman (kiri) di Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 20 FEBRUARI 2025

Katanya, 17 premis terbabit pula digunakan sebagai pusat panggilan bagi menghubungi pelanggan untuk menawarkan pembelian emas, hartanah, kapal mewah, pelaburan saham dan mata wang asing.

“Pusat panggilan tersebut bukan sahaja menyasarkan mangsa tempatan tetapi turut menjangkau pelanggan dari luar negara terutamanya dari negara mereka sendiri.

“Sindiket ini turut menawarkan perkhidmatan judi dalam talian dan Love-Scam yang tidak wujud,” katanya.

Sebahagian barangan rampasan dalam Operasi Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia yang telah menyerbu 17 unit premis kediaman mewah dipercayai Scam warga asing. Turut hadir Pengarah Bahagian Penguatkuasa, Basri Othman (kiri) di Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 20 FEBRUARI 2025

Menurut Jafri, sindiket akan mengiklankan tawaran mereka melalui nombor telefon pelanggan atau mangsa yang diperolehi secara rawak.

“Apabila pelanggan mula menunjukkan minat dengan tawaran itu, mereka dikehendaki memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun yang diberikan oleh ahli sindiket dengan menghantar pautan yang telah disambung kepada pentadbir.

“Mangsa akan merasa tertipu apabila sindiket tersebut gagal dihubungi setelah mereka memindahkan sejumlah wang kepada sindiket menerusi akaun milik warga tempatan, dipercayai berperanan sebagai ‘keldai akaun’,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here