KUALA LUMPUR – Sultan Selangor perkenan permohonan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof untuk memendekkan tempoh pelantikannya sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkuat kuasa 28 Februari 2025 atas faktor kesihatan.
Abdul Aziz dilantik sebagai Pengerusi MAIS pada 1 Januari 2021.
Sepanjang tempoh itu, beliau menerajui MAIS dengan penuh komitmen dan dedikasi dalam memperkasakan hal ehwal Islam di Selangor termasuk merealisasikan Pelan Strategik MAIS 2020-2024 merangkumi Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor, agensi dan anak syarikat MAIS.
Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, MAIS merakam setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Abdul Aziz atas segala sumbangan, jasa dan khidmat bakti beliau sepanjang menjalankan tugas yang diamanahkan. – MalaysiaGazette