PUTRAJAYA – Tabung Umrah Angkasa iaitu platform inovatif menyasarkan lebih 60,000 peserta dalam tempoh lima tahun ini dengan jumlah unjuran kutipan tabungan mencecah RM153 juta bagi membantu umat Islam menabung secara sistematik untuk persediaan menunaikan ibadah umrah.
Timbalan Presiden Angkasa, Dr. Mohd Azlan Yahya berkata, sasaran utama platform inovatif itu merangkumi majikan dan pekerja sektor awam dan swasta menerusi lebih 1,800 majikan berdaftar di bawah sistem potongan gaji Angkasa (SPGA) serta individu Muslim.
Kata beliau, tabung tersebut memberi peluang kepada peserta untuk menabung secara patuh syariah bagi menunaikan umrah tanpa tekanan kewangan.
“Dalam usaha memastikan kebajikan peserta terjaga, dana peserta yang meninggal dunia sebelum menunaikan umrah akan diserahkan kepada waris melalui Surat Ikatan Amanah (SIA) tanpa perlu melalui proses pewarisan yang rumit.
“Sehubungan itu, majikan, koperasi dan individu digesa untuk bersama-sama menyokong Tabung Umrah Angkasa sebagai satu usaha memudahkan umat Islam menunaikan umrah dengan perancangan kewangan yang sistematik dan telus,” katanya.

Pelancaran Tabung Umrah Angkasa itu dirasmikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Muhamad Razak Idris di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Azlan berkata, Tabung Umrah Angkasa bukan sekadar penyedia platform kewangan tetapi bukti komitmen Angkasa dalam transformasi pengurusan kewangan Islam dengan menggabungkan teknologi moden dan prinsip ekonomi Islam.
Katanya, ia bakal membuka peluang kepada lebih ramai umat Islam tanpa mengira latar belakang kewangan, untuk menunaikan umrah secara lebih tersusun, bebas daripada beban hutang serta kes penipuan umrah.
“Tabung Umrah Angkasa menawarkan pelbagai manfaat eksklusif antaranya jaminan keselamatan simpanan di mana dana peserta diuruskan oleh MyAngkasa Amanah Berhad (MAAB) iaitu sebuah anak syarikat milik penuh Angkasa yang bertindak sebagai pemegang armanah dengan keutamaan kepada ketelusan dan integriti.
“Selain itu, platform ini juga turut memastikan peserta dapat menabung secara berkala tanpa sebarang komitmen pembiayaan membolehkan mereka menunaikan umrah dengan tenang.
“Menerusi penggabungan kemudahan potongan gaji melalui SPGA, peserta boleh menabung secara konsisten dengan pilihan deposit fleksibel yang disediakan bagi kemudahan mereka.
“Peserta juga dapat menikmati pelbagai keistimewaan seperti diskaun pakej umrah, perlindungan takaful sepanjang tempoh tabungan, pengurusan harta pusaka tanpa caj, serta program bimbingan kewangan dan ibadah umrah,” katanya. – MalaysiaGazette
