Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 815 golongan orang kurang upaya (OKU) melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara tahun lalu, termasuk di peringkat sijil kemahiran khas; politeknik dan kolej komuniti.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, secara keseluruhan sejak 2006 hingga tahun lalu juga, seramai 10,148 golongan OKU diberi peluang meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Jelas beliau, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan golongan itu turut mempunyai akses bagi melanjutkan pelajaran termasuk menerusi pembiayaan yuran dan pemberian wang saku berjumlah RM6,200 setahun menerusi program Bantuan Kewangan OKU (BKOKU).

Selain itu, jelas beliau, golongan OKU khususnya daripada kategori ketidakupayaan pendengaran turut berpeluang melanjutkan pengajian menerusi Program Pendidikan Khas (PPK) bagi mengikuti kursus-kursus sepenuh masa di politik dan kolej komuniti.

“Secara keseluruhannya KPT akan terus komited dalam menyediakan akses lebih luas kepada golongan OKU di peringkat pendidikan tinggi dan dalam kita memastikan lebih ramai graduan OKU dapat dilahirkan, KPT turut bekerjasama dengan badan-badan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta banyak lagi,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Zambry menjawap soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) berhubung inisiatif yang sudah dirangka dalam perancangan kerajaan dalam memastikan pelajar OKU di IPTA atau mereka yang mempunyai ibu bapa OKU diberi keutamaan dalam pengagihan biasiswa pendidikan.

Sementara itu, kepada soalan tambahan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) sama ada terdapat kes di mana IPT termasuk menolak kemasukan penuntut OKU disebabkan kekurangan kemudahan bagi golongan itu, Zambry berkata, tidak ada diskriminasi oleh mana-mana IPT terhadap pelajar OKU yang ditawarkan tempat di institusi terbabit.

Jelas beliau, kekurangan fasiliti tidak menjadi halangan kepada mana-mana IPT untuk menerima pelajar golongan OKU memandangkan KPT akan memastikan kemudahan bagi pelajar tersebut bermula dari asrama sehinggalah ke dewan kuliah disediakan.

“Saya akui perlu ada penambahbaikan sebab terdapat kampus-kampus yang agak lama dan berusia yang mungkin kurang dari segi fasiliti kepada golongan OKU tetapi dengan peruntukan tahunan kepada KPT, kita dapat pastikan akses ini dapat disediakan kepada pelajar OKU di kampus,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here