DATUK Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara akan turut memberi tumpuan ke arah melahirkan lebih ramai graduan dan pakar dalam sektor pertanian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan TVET tidak meminggirkan sektor pertanian yang mana ketika ini, kebolehpasaran graduan TVET dalam sektor itu mencecah kira-kira 80 peratus.

“Insya-Allah saya akan beri tumpuan juga supaya ada imbangan antara sektor pertanian dan bukan pertanian dalam kalangan graduan TVET.

“Perkara ini akan saya teliti di bawah Majlis TVET Negara dan melihat supaya paka-pakar termasuk jurutera dalam bidang pertanian dapat disantuni dan diberi keutamaan (di bawah TVET),” katanya pada sesi jawapan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berhubung hala tuju dan perancangan kerajaan untuk memperkasakan TVET pertanian ke arah memastikan keterjaminan makanan negara.

Sementara itu, Ahmad Zahid (BN-Bagan Datuk) berkata, pelaksanaan TVET juga merupakan penyelesaian kepada permasalahan pelajar yang tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi memastikan mereka tidak terus tercicir daripada arus pendidikan dan pekerjaan.

“Sebagai contoh tahun lepas misalnya lebih 8,000 pelajar tidak menduduki SPM dan kita mahu memberikan mereka peluang kedua.

“Walaupun kita tidak anggap TVET ini sebagai pilihan kedua, tetapi kita mahu melalui ekosistem pendidikan yang baharu ini, TVET selepas ini menjadi pilihan utama pelajar-pelajar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here