KUALA LUMPUR – Seramai 75 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Pulau Ketam telah menyertai Program Kesedaran Kepentingan Pokok Bakau yang
dianjurkan oleh Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM).
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran generasi muda tentang peranan
penting hutan bakau dalam kelestarian alam sekitar.
Pengarah program, Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman berkata, inisiatif ini merupakan
langkah proaktif mendidik generasi masa depan mengenai kepentingan memelihara dan
memulihara ekosistem bakau, yang berperanan sebagai benteng semula jadi menentang
hakisan pantai dan habitat penting bagi pelbagai spesies hidupan laut.
“Kesedaran tentang pemuliharaan hutan bakau adalah asas kepada perubahan amalan
masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar.
“Program ini bukan sekadar memberi pendedahan tetapi juga menggalakkan pelajar
mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam kehidupan seharian.
“Melalui media sosial, para pelajar boleh berkongsi maklumat, pengalaman, dan inisiatif
berkaitan kelestarian alam sekitar, sekali gus menjadi ejen perubahan dalam komuniti
mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengetua SMK Pulau Ketam, Mohamed Nizam Banaji menyambut baik
usaha ini dan berharap program seperti ini dapat diperluaskan untuk memberi manfaat
kepada lebih ramai pelajar.
“Pendekatan pendidikan luar bilik darjah seperti ini memberikan pengalaman pembelajaran
yang lebih berkesan dan mendalam. Diharapkan pelajar dapat menerapkan ilmu yang
diperoleh untuk menyumbang kepada usaha pemuliharaan alam sekitar,” ujarnya. – MalaysiaGazette