ROMPIN – Seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika memancing di kawasan Jeti Kampung Menchali Rompin di Sungai Rompin, di sini, pada jam 2 pagi tadi.
Ketua Polis Rompin, Deputi Superintendan Mohamad Zamri Mohd Zaber berkata, laporan kehilangan mangsa, Saari Awang, 67, dibuat anak mangsa, Norsapiatul Maizan selepas dua jam bapanya hilang.
“Pemantauan dan usaha pencarian dilakukan selepas menerima laporan kehilangan mangsa,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sementara itu Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman berkata, bomba yang menerima panggilan pada pukul 2.01 pagi bergegas ke lokasi kejadian bagi melakukan operasi pencarian.
Katanya, pencarian pertama itu dihentikan jam 2.47 pagi dan disambung semula jam 8 pagi tadi.
Jelas beliau, pasukan bomba memulakan operasi dengan membuat pencarian di sekitar sungai dan pencarian secara permukaan sungai tersebut.
“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) telah hadir di lokasi bagi membantu pengoperasian pencarian mangsa.
“Manakala maklumat awal daripada anak mangsa menyatakan mangsa pergi memancing seorang diri,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam operasi itu, pasukan bomba turut menemui barangan memancing mangsa seperti tong ais dan alatan lain yang berada di sekitar kawasan mangsa disyaki terjatuh. – MalaysiaGazette