KLUANG – Mahkamah Majistret di sini hari ini melanjutkan tempoh reman empat hari lagi terhadap seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Along Kubur yang melarikan diri daripada polis di bandar di sini minggu lalu.
Suspek sebelum itu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini dengan kawalan ketat anggota polis kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.
Majistret Mustaqim Sukarno mengeluarkan perintah reman ke atas suspek sehingga 25 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952.
Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 44(2) Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 186 dan 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1) (a) ADB 1952.
Pada 14 Februari lalu tular dalam media sosial aksi seorang lelaki yang memandu kereta jenis Honda Prelude berwarna kuning dikejar anggota polis sejauh lima kilometer.
Dalam kejadian sekitar pukul 9 pagi Jumaat lalu, Unit Peronda MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang mengesan kenderaan yang dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan di Persimpangan Jalan Haji Manan di sini.
Ketika cuba diperiksa, suspek berusia lingkungan 40-an bertindak melarikan diri menyebabkan polis terpaksa mengejarnya sebelum dia akhirnya berjaya ditahan di hadapan lampu isyarat Kluang Mall.
Hasil pemeriksaan mendapati suspek mempunyai 15 rekod jenayah lampau termasuk kesalahan berkaitan dadah.
Polis turut menemui sejumlah dadah dipercayai heroin, sementara ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine. – MalaysiaGazette