Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR – Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa (HBIA) yang disambut hari ini adalah masa terbaik untuk seluruh rakyat menghargai kepentingan kepelbagaian bahasa dan mengiktiraf peranan bahasa ibunda negara dalam warisan budaya, identiti peribadi dan komunikasi.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, memelihara bahasa ibunda adalah penting dalam dunia yang saling terhubung bagi mengekalkan kepelbagaian budaya dan memupuk rasa hormat antara satu sama lain.

Jelasnya, bahasa ibunda bukan sekadar perkataan sebaliknya ia adalah nadi budaya dan wahana identiti negara selain mendukung tradisi dan membentuk identiti negara.

“Bahasa memainkan peranan penting dalam menjayakan pembangunan lestari seperti yang ditunjukkan dalam tema tahun ini iaitu Manfaatkan Bahasa untuk Pembangunan Lestari.

“Dengan menggunakan bahasa tempatan dalam inisiatif pembangunan, kita dapat mengukuhkan penglibatan masyarakat dan memastikan usaha kita benar-benar seiring dengan keperluan mereka,” katanya menerusi video ucapan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Menurut Fadhlina, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menekankan kepentingan bahasa ibunda dalam memelihara warisan budaya dan rangka kerja dasar strategik pertubuhan itu bertujuan mengintegrasikan multibahasa dalam semua program yang dilaksanakan.

Jelasnya, ia menekankan keperluan untuk pendidikan inklusif yang menggalakkan kepelbagaian bahasa dan memastikan akses pendidikan berkualiti untuk semua.

Ujar beliau, Malaysia turut membangunkan dasar bahasanya sendiri bertujuan memelihara bahasa ibunda serta memupuk perpaduan nasional.

“Di sekolah-sekolah kerajaan, bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar manakala sekolah vernakular menawarkan penggunaan bahasa Cina dan Tamil.

“Selain itu, komuniti Orang Asli seperti Kadazandusun, Bidayuh dan Semai turut diajar bahasa mereka di sekolah untuk memenuhi keperluan bahasa masyarakat peribumi,” katanya.

Tambah beliau, pendidikan adalah penting dalam memartabatkan bahasa ibunda dan pendidikan pelbagai bahasa mampu memperkayakan pengalaman dalam pembelajaran, memupuk rasa kepunyaan dan kebanggaan terhadap budaya serta menyokong kepelbagaian bahasa.

Sehubungan itu, katanya, dalam meraikan bahasa ibunda antarabangsa yang disambut hari ini, wajar untuk seluruh rakyat memperbaharui komitmen untuk mempromosikan kepelbagaian bahasa.

“Sama-sama kita menghormati bahasa ibunda kita, memelihara warisan budaya dan memperkaya semangat keterangkuman.

“Bersama-sama kita membudayakan multilingualisme sama ada di rumah, sekolah mahupun komuniti kita dan bekerjasama membina masa depan yang berbeza,” katanya.

HBIA yang disambut pada 21 Februari setiap tahun diperkenalkan oleh UNESCO sebagai usaha untuk mengekalkan kepelbagaian bahasa dan warisan budaya dunia.

Ia juga menjadi landasan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan bahasa dalam membina persefahaman, toleransi dan perpaduan sejagat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here