GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan untuk menggubal undang-undang mengenai penjualan makanan kepada kanak-kanak.

Ia susulan insiden tragis melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun maut semalam selepas bertarung nyawa sejak Selasa lalu akibat tercekik gula-gula gummy berbentuk mata.

Pegawai Pendidikan CAP, NV. Subbarow berkata, setiap produk makanan yang dijual kepada kanak-kanak harus mendapatkan kelulusan rasmi daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Haramkan kemasukan dan penjualan gula-gula gummy berbentuk mata itu kerana kanak-kanak tidak mengetahui tentang kualiti atau kandungan makanan tersebut sekali gus hanya fokus sesuatu produk yang menarik perhatian mereka.

“Selain itu, pihak berkaitan juga perlu mengawasi penjualan makanan ringan di luar kawasan sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Subbarow turut menggesa KKM untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga yang menjual makanan berisiko di luar kawasan sekolah.

“KKM tidak boleh terus berdiam diri terhadap isu in kerana kesihatan kanak-kanak harus menjadi keutamaan.

“Makanan ringan yang mengandungi gula tinggi dan bahan kimia warna perlu ditarik balik dari pasaran untuk melindungi generasi muda,” katanya.

Terdahulu, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang Belia, Sukan dan Kesihatan Daniel Gooi Zi Sen memaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sedang menjalankan siasatan berhubung keselamatan produk gula-gula gummy berbentuk mata yang dipercayai menjadi punca kepada kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun semalam.

Jelas beliau, tindakan susulan akan diselaraskan di peringkat ibu pejabat melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, KKM bagi memastikan segala prosedur keselamatan dipatuhi dan langkah pencegahan diambil untuk mengelakkan kejadian serupa di masa hadapan.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here