SHAH ALAM- Polis mengesahkan menerima laporan dan telah menjalankan siasatan berhubung kes seorang kanak-kanak autistik berusia enam tahun yang didakwa menjadi mangsa dera di sebuah taman asuhan kanak-kanak (TASKA) di Seksyen 7 di sini bulan lepas.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata laporan mengenai kejadian itu dibuat oleh ibu mangsa pada pukul 11.18 pagi, 16 Jan lalu, yang memaklumkan bahawa suaminya menemukan kesan kemerahan di belakang badan serta bawah mata kanan mangsa ketika ingin memandikannya pada 9.30 malam sehari sebelum itu.
Beliau berkata pengadu juga mendakwa menyedari mangsa tidak aktif dan kurang berinteraksi semasa beliau mengambilnya dari taska pada hari yang sama.
“Hasil siasatan mendapati mangsa yang dihantar ke taska tersebut sejak 2022 mempunyai autisme ringan (‘mild autism’), sukar berkomunikasi dan kejadian itu merupakan kali pertama berlaku.
“Semakan kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian tidak menunjukkan sebarang insiden mangsa dicederakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Foto FB Nazmi Zulkifli
Mohd Iqbal berkata, siasatan mendapati taska tersebut telah beroperasi sejak 2021 dan mempunyai lesen Majlis Bandaraya Shah Alam yang akan tamat pada 14 Mac depan.
Beliau berkata kertas siasatan telah dirujuk kepada Pihak Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, yang kemudiannya memutuskan bahawa kes diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) memandangkan tiada keterangan kukuh untuk meneruskan kes itu setakat ini.
“Sekiranya terdapat bukti lain yang ditemukan oleh mana-mana saksi, pihak polis akan meneruskan siasatan serta menyediakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya.
Mohd Iqbal berkata mangsa telah mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di Hospital Shah Alam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Justeru, katanya mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Insp. S. Vemal, di talian 011-39216101.
Terdahulu, bapa kanak-kanak itu, menerusi hantaran di Facebook, mendakwa anak sulungnya menjadi mangsa dera di Ttaska dan bukannya terjatuh daripada gelongsor seperti yang didakwa oleh guru taska.
Lelaki itu juga mempersoalkan mengapa tiada tangkapan reman dibuat ke atas mana-mana guru taska berkenaan sehingga kini, sebaliknya kes diklasifikasikan sebagai NFA atas alasan tiada rakaman CCTV dan bukti tidak mencukupi.
— BERNAMA