KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengarah Ellie Suriaty, 54, menuntut permohonan maaf daripada ibu bapa pempengaruh yang dikenali sebagai Imran Bard kerana didakwa telah mencalar namanya menerusi dua hantaran berunsur fitnah di TikTok.
Ellie atau nama sebenarnya Ellie Suriaty Omar berkata, kecewa dengan tindakan pempengaruh itu yang memperlekeh reputasinya selepas tiga dekad dalam industri seni.
“Dia buat secara sengaja, bukan tak sengaja, bukan terbabas sehingga mendapat perhatian ramai. Saya menjadi bahan lawak jenaka dan kemusnahan sudah berlaku atas jenama, periuk nasi dan rezeki saya,” katanya Ketika sidang media.
Sebagai rekod, Imran baru-baru ini sengaja membuat kandungan media sosial dengan menyebut nama Ellie Suriaty menggunakan bahan terlarang menerusi hantaran dimuat naik pada 12 Februari lalu.
Tontonan sudah mencapai lebih 1.3 juta.
Selain Ellie, beberapa nama artis lain turut disebut termasuk Datuk Fauziah Ahmad Nawi, Wan Maimunah, Zulin Aziz, Mas Idayu dan lain-lain.
Mengulas lanjut pelakon itu menegaskan ingin berjumpa dengan ibu bapa pempengaruh itu untuk bercakap tentang adab.
“Bila seseorang biadap, tak faham adab, saya nak bercakap dengan ibu bapanya soal adab. Kalau datang minta maaf tak ikhlas, bukan itu yang saya hargai. Saya mahu ibu bapanya datang minta maaf dengan saya.
“Apa sahaja yang dia buat atas nama saya, demi Allah, saya tak izinkan dan reda. Apa sahaja rezeki dia dapat guna nama saya untuk popular, dapat rezeki dan tawaran, saya tak reda,” katanya lagi.
Terdahulu, beliau memaklumkan membuat laporan polis di Balai Polis Hulu Kelang, Ahad lalu dan bakal menyusul laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).-MalaysiaGazette