Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir pada perbicaraan kes saman SRC di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 24 JUN 2024 (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, siasatan bagi mengesahkan penyumbang derma kepada Datuk Seri Najib Razak dirancang lebih awal sebelum pemergian pasukan itu ke Arab Saudi pada 2015.

Penolong Kanan Pesuruhjaya SPRM, Mohd. Nasharudin Amir, 53, bersetuju di Mahkamah Tinggi hari ini, percakapan yang dirakam daripada dua individu ketika misi ke Riyadh adalah berdasarkan kepada proses potong dan tampal (cut and paste) mengikut format jabatannya.

Individu itu ialah Mohamad Abdullah Al-Koman yang mewakili penyumbang derma, Putera Saud Abdulaziz Majid Al-Saud dan juga Tan Kim Loong iaitu sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Mohd. Nasharuddin bersetuju dengan cadangan pendakwaan bahawa pemergian itu telah dirancang lebih awal dan beliau ke sana untuk ‘makan minum, potong tampal percakapan dan balik’.

Saksi bersetuju dokumen percakapan itu telah disediakan sebelum pemergian pasukan itu ke Arab Saudi kerana ia tidak melibatkan sesi soalan tambahan.

Menurut pegawai tersebut, beliau bukan sahaja tidak bertemu dengan putera berkenaan yang dikatakan penulis empat surat derma kepada Najib malah tidak diperkenalkan kepadanya.

Pasukan itu ke Arab Saudi pada November 2015 bagi mengesahkan empat surat berkaitan derma RM2.3 billion yang dimasukkan ke dalam akaun bekas Perdana Menteri.

Saksi pembelaan ke-10 (SP10) yang juga pegawai penyiasat kes rasuah melibatkan Najib bagaimanapun tidak berpuas hati dengan siasatan bagi mengesahkan kesahihan surat derma daripada putera Arab Saudi itu.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, saksi berkata, beliau kemudian memohon agar siasatan lanjut dijalankan di Singapura.

Akram: Pemergian itu telah dirancang lebih awal, tuan cuma pergi ke sana, makan minum, cut & paste, percakapan dan balik, tuan setuju?
Nasharudin: Ya.

Akram: Sebagai pegawai penyiasat, tuan tidak lihat langsung pasport milik putera Arab Saudi tersebut kerana dokumen (pengenalan diri) itu tidak diserahkan kepada tuan dan tiada salinan dibuat?
Nasharudin: Ya.

Akram: Tuan bersetuju sepanjang percakapan diambil, individu yang dikatakan Putera Saudi itu tidak pernah berada dalam ruang siasatan?
Nasharudin: Ya.

Akram: Sebaliknya, individu yang dirakam percakapan adalah wakil Putera Saud bernama Abdullah Al-Koman iaitu peguam yang mewakili beliau?
Nasharudin: Ya.

Ujar beliau, proses merakam percakapan itu dilakukan dalam bilik siasatan dalam sebuah ‘rumah besar’ dan beliau tidak mengenali Putera Arab Saudi kerana tidak diperkenalkan kepada kerabat itu.

Dalam keterangannya, Mohd. Nasharudin dan pasukan tersebut turut ditawarkan menunaikan umrah dan segala kelengkapan dan perjalanan ke Jeddah menggunakan jet peribadi yang dipercayainya diuruskan oleh Arab Saudi.

Mohd. Nasharudin merupakan antara pegawai penyiasat SPRM yang bertanggungjawab menyiasat kes SRC International sebelum ini.

Mahkamah sedang mendengar keterangan bela diri Najib, 71, terhadap empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Mengikut pertuduhan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Sequerah di Istana Kehakiman bersambung Isnin – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here