Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf bercakap pada sidang media berkenaan sindiket penipuan di menara KPJ, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 21 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Polis menahan 14 individu termasuk dua lelaki warga tempatan kerana disyaki terbabit dengan sindiket calling centre dalam operasi di Persiaran Stonor di sini pada 19 Februari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pemeriksaan awal mendapati sindiket berkenaan menjalankan penipuan online gaming yang menawarkan hadiah berbentuk gajet dan barangan mewah.

“Melalui serbuan yang dilaksanakan di lapan buah premis kediaman jenis kondominium mewah, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 28 hingga 52 tahun.

“Mereka terdiri daripada 12 warga asing iaitu seorang lelaki warga Turkiye, tujuh lelaki dan empat wanita warga China serta dua lelaki warga tempatan.

“Mereka dipercayai berperanan sebagai ketua sindiket, penolong ketua sindiket, pengurus, pengurus kewangan, pegawai khidmat pelanggan dan pemandu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Menara KPJ di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menunjukkan suspek sindiket pada sidang media berkenaan sindiket penipuan di menara KPJ, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 21 FEBRUARI 2025.

Menurut beliau, pihaknya turut merampas wang tunai RM4.89 juta, Peso 20,200.00, Thai Baht berjumlah 69,310.00, Hong Kong Dollar 68,800.00, Cambodia Riel berjumlah 15,000, Macanese Pataca (Macau) berjumlah 40.00, dua buah kenderaan mewah jenis Toyota Alphard, tiga kunci kawalan jauh, 27 unit telefon bimbit, enam set komputer riba, empat CPU, empat monitor, tujuh pasport China dan satu pasport Turkiye.

Selain itu, enam utas jam tangan mewah, Lima beg tangan mewah, lima beg silang pelbagai jenama, satu beg jenama Fendi, satu beg dompet jenama Louis Vuitton,  tiga utas rantai, seutas gelang,  lapan modem, 11 kad akses rumah, dua kad bank, satu set kunci, satu set perjanjian jual beli rumah, 10 anak kunci rumah dan satu Ipad dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM7,000,00.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman (JSJK), mempamerkan barang rampasan pada sidang media berkenaan sindiket penipuan di menara KPJ, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 21 FEBRUARI 2025.

“Sindiket ini beroperasi melalui platform WeGame yang menjanjikan hadiah lumayan dan menyasarkan warga China.

“Mereka mempelawa mangsa melalui forum online gaming sebelum mengarahkan mereka memuat turun aplikasi khas dan menggunakan perisian remote desktop untuk pemasangan.

“Mangsa perlu membuat pembayaran untuk menyertai pertandingan dan dikenakan bayaran tambahan untuk meneruskan permainan.

Namun, selepas bayaran dibuat, mereka tidak lagi dapat dihubungi,” katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menunjukkan barang rampasan pada sidang media berkenaan sindiket penipuan di menara KPJ, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 21 FEBRUARI 2025.

Menurut Ramli, ahli sindiket itu memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial sejak Oktober 2024 dengan gaji bulanan ahli antara RM3,000 hingga RM7,000, manakala ketua dan pembantunya dipercayai memperoleh keuntungan lebih tinggi.

Kesemua suspek dipercayai terlibat dengan jenayah serupa di Filipina dan menggunakan wang hasil penipuan untuk membeli aset di Malaysia.

“Kesemua lapan kondominium mewah yang diserbu dimiliki oleh seorang ahli sindiket warga China dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM16 juta.

“12 individu warga asing yang ditahan sedang direman selama empat hari hingga 23 Februari ini manakala dua individu warga tempatan sedang diremab selama dua hari sehingga hari ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here