PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memantau ketat penjaja dan peniaga kecil di luar premis sekolah bagi menjamin keselamatan murid.
Ia susulan insiden murid tahun empat yang meninggal dunia akibat tercekik gula-gula kenyal (gummy) berbentuk mata.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan menegaskan, Garis Panduan Penguatkuasaan Larangan Penjualan Makanan dan Minuman di Luar Pagar Sekolah Oleh Pihak Berkuasa Tempatan (Edisi Kedua 2021) telah menyatakan bahawa aktiviti penjualan dalam radius 40 meter daripada pagar sekolah adalah tidak dibenarkan.
“Kita di peringkat sekolah ambil maklum dan kita sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan perkara ini dipatuhi,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat sempena pembukaan sesi persekolahan 2025/2026 di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, seorag murid Tahun 4 dilaporkan kritikal di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata dalam kejadian pada petang Selasa.
Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HPP bagimana menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 11 malam semalam.
Mangsa sebelum itu dilapor tidak sedarkankan diri ketika mengikuti kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa dikatakan meminta izin daripada gurunya untuk ke tandas selepas dia dikatakan tersedak.
Bagaimanapun, ketika berjalan ke tandas, mangsa rebah dan tidak sedarkan diri. – MalaysiaGazette