M. Kulasegaran

KUALA LUMPUR – Seorang lagi veteran DAP, M. Kulasegaran turut membuat keputusan tidak mempertahankan jawatan dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu yang dijadualkan bulan depan.

Kulasegaran yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada generasi muda membawa pembaharuan dalam DAP.

“Saya percaya sudah tiba masanya untuk saya mengambil langkah ke belakang dan membolehkan generasi muda memimpin sementara parti ini menyegarkan semula dirinya untuk menghadapi cabaran-cabaran negara yang semakin berubah.

“Ketika kita melangkah ke hadapan, saya dengan ikhlas berharap parti ini akan terus kekal setia kepada prinsip asas penubuhannya sambil merangka hala tuju baru dengan generasi muda memimpin,” katanya dalam kenyataan media seperti dilaporkan portal MalaysiaKini hari ini.

Sementara itu, Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat sejak 1999 menyertai DAP kerana idealisme sosialis dan demokratiknya serta perjuangan pelbagai kaum untuk Malaysia yang adil dan inklusif.

“Ia merupakan satu penghormatan yang besar untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. Sejak penubuhannya, DAP telah memperjuangkan hak rakyat Malaysia biasa khususnya golongan pekerja dan hak asasi manusia secara keseluruhan.

“Parti ini mesti sentiasa kekal setia kepada asas sosialisnya, berjuang untuk kesaksamaan, keadilan, hak asasi manusia dan tadbir urus yang baik,” katanya.

Sebelum ini, dua pemimpin veteran DAP, Tan Kok Wai dan Fong Kui Lun turut mengumumkan tidak akan bertanding dalam pemilihan parti itu bagi memberi laluan kepada pelapis baharu.

Kok Wai yang juga Ahli Parlimen Cheras merupakan Penasihat Kebangsaan DAP manakala Kui Lun yang juga Ahli Parlimen Bukit Bintang memegang jawatan Bendahari DAP. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here